Pemantauan Masa Skrin dan Kesejahteraan Digital
Dalam dunia digital hari ini, peranti elektronik seperti telefon pintar, tablet dan komputer telah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan seharian. Justeru, fenomena dikenali sebagai ‘Minda Bertih’ makin meluas pada masa kini seiring dengan dunia moden yang semakin mencabar. Namun, penggunaan yang berlebihan tanpa kawalan boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan mental, fizikal dan emosi. Oleh itu, penetapan masa skrin terhadap diri sendiri serta pemantauan masa skrin untuk anak-anak sangat penting bagi memastikan keseimbangan antara teknologi dan kehidupan sebenar.
Masa skrin merujuk kepada jumlah masa yang dihabiskan seseorang di hadapan skrin digital. Kajian menunjukkan bahawa masa skrin yang berlebihan antaranya ialah boleh mengakibatkan keletihan mata, gangguan tidur, stress, perubahan fungsi dalam otak, menjejaskan kebolehan kognitif, menurunkan tahap tumpuan terutama dalam kalangan kanak-kanak atau remaja dan lain-lain lagi. Malah, ia juga boleh menjejaskan interaksi sosial dan hubungan kekeluargaan apabila masa berkualiti bersama digantikan dengan penggunaan gajet.
Kesejahteraan digital ialah keupayaan untuk menggunakan teknologi secara sihat, seimbang dan bertanggungjawab. Ia melibatkan kesedaran tentang had penggunaan peranti, pemilihan kandungan yang sesuai serta pengurusan masa yang berkesan. Dalam konteks ini, menetapkan batas masa skrin menjadi satu langkah pencegahan mengawal penggunaan teknologi agar tidak menjejaskan rutin harian.
Antara langkah yang boleh diambil termasuklah membataskan had masa skrin harian serta mengamalkan zon bebas skrin seperti semasa makan dan sebelum tidur. Secara tidak langsung dapat mendisplinkan diri serta berperanan mendidik generasi muda tentang literasi digital dalam penggunaan peranti.
Dalam era digital yang semakin bergantung kepada teknologi, kita tidak dapat mengelakkan penggunaan skrin sepenuhnya. Tetapi, dengan kesedaran dan kawalan yang bijak, kesejahteraan digital dapat dicapai. Amalan menghadkan masa skrin bukan sekadar displin, bahkan satu keperluan tujuan mengekalkan kesihatan mental dan fizikal.
Disediakan oleh:
Rohana Binti Mahayadin
Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses (JKKP)