.

Transformasi Digital Terhadap Amalan Pengurusan Bakat Pekerja

Era digital telah membawa perubahan besar kepada kaedah pengurusan organisasi dan pembangunan bakat pekerja. Teknologi bukan lagi berfungsi sebagai alat sokongan, tetapi ia juga menjadi pemacu utama strategi sumber manusia. Sistem digital kini pantas mengenal pasti, menilai, melatih dan mengekalkan bakat pekerja dengan lebih berkesan dan telus.


Penggunaan platform seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Analitik data besar (big data analysis) melalui analisis prestasi, tingkah laku kerja dan aspirasi kerjaya, membolehkan organisasi memahami potensi sebenar pekerja. Proses-proses ini membantu majikan membuat keputusan yang lebih tepat dalam aspek-aspek penempatan kerja dan perancangan pembangunan kerjaya. Contohnya, AI dapat meramal keperluan latihan seseorang pekerja berdasarkan corak pencapaiannya, sekaligus menjadikan pembangunan bakat lebih menjurus kepada potensi pekerja berbakat tersebut.

Dalam konteks perusahaan kecil dan sederhana (PKS), transformasi digital menstruktur semula sistem pengurusan bakat yang sebelum ini dilakukan secara manual. Aplikasi seperti cloud-based HR systems dan platform e-latihan menjadikan proses pemantauan kompetensi dan prestasi lebih mudah dan kosnya berpatutan. Walau bagaimanapun, antara cabaran utama yang dihadapi ialah kekangan kemahiran digital dalam kalangan pengurus dan pekerja, serta isu keselamatan data yang semakin sukar dan mencabar.


Hakikatnya, transformasi digital tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman, tetapi sebagai peluang untuk memperkasa tenaga kerja agar lebih mudah disesuaikan dan berdaya saing. Organisasi yang berjaya adalah organisasi yang mampu menggabungkan kelebihan teknologi dengan nilai kemanusiaan dengan membina budaya kerja yang fleksibel, bekerjasama dan berteraskan pembelajaran berterusan. Walaupun dunia kerja semakin berpandukan data, bakat manusia tetap menjadi aset paling berharga dan teknologi hanyalah alat untuk menyerlahkan lagi bakat tersebut.

Disediakan oleh
Dr. Norhafizah Abu Hasan
Pusat INSAN, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM

(Visited 34 times, 1 visits today)