.

Evolusi Teknologi: Dari Era Kad Tebuk ke Pengkomputeran Awan

Teknologi Maklumat (IT) telah melalui satu evolusi yang panjang serta sarat dengan transformasi sejak awal kewujudannya. Bermula dengan sistem pemprosesan data yang bergantung pada kad tebuk, kini dunia IT telah berevolusi ke arah pengkomputeran awan (cloud computing). Pengkomputeran awan membolehkan data dan aplikasi diakses secara dalam talian pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Era Kad Tebuk: Permulaan Pengkomputeran

Mengimbau kembali zaman 1940-an hingga 1960-an, penggunaan kad tebuk (punch cards) menjadi asas kepada sistem komputer awal. Kad dengan lubang-lubang kecil ini berfungsi menyimpan arahan dan data, yang kemudiannya diproses oleh komputer seperti IBM 1401. Pada ketika itu, proses memasukkan data sangat perlahan dan menuntut tahap ketelitian yang tinggi. Kesilapan kecil semasa menaip memerlukan penghasilan semula kad baharu, sesuatu yang pasti meninggalkan kenangan pahit manis bagi mereka yang pernah melaluinya. Meskipun teknologi ini kini tampak usang, ia merupakan satu pencapaian besar dalam sejarah pemprosesan data automatik. Teknologi ini bukan sahaja membuka jalan kepada pembangunan sistem yang lebih kompleks, malah turut menyumbang kepada kemajuan pengkomputeran dalam pelbagai sektor seperti ketenteraan, perbankan, pendidikan, dan kerajaan.

Transformasi ke Komputer Peribadi dan Rangkaian

Melangkah ke era 1970-an dan 1980-an, komputer peribadi (PC) mula diperkenalkan kepada pengguna individu dan pejabat-pejabat kecil. Sistem pengoperasian seperti MS-DOS dan kemudian Windows menjadi popular, menjadikan pemprosesan data lebih mesra pengguna dan meluas. Ketika inilah teknologi rangkaian komputer (LAN dan WAN) bermula di mana teknologi ini membolehkan perkongsian sumber dan komunikasi antara komputer, sekali gus menandakan bermulanya era internet yang kita kenali hari ini.

Revolusi Internet dan Mobiliti

Menjelang tahun 1990-an dan awal 2000-an, internet menjadi pemangkin utama kepada digitalisasi maklumat. E-mel, laman web dan e-dagang menjadi perkara biasa dalam kehidupan seharian. Organisasi mula membangunkan sistem dalaman berasaskan web, sementara telefon pintar dan komputer riba menjadikan akses kepada maklumat lebih mudah dan pantas. Revolusi ini menekankan keperluan untuk data dapat diakses secara fleksibel dan selamat tanpa batasan geografi, di mana di sinilah bermulanya konsep pengkomputeran awan mendapat perhatian

Pengkomputeran Awan: Teknologi Tanpa Sempadan

Pengkomputeran awan (cloud computing) merujuk kepada penyampaian perkhidmatan IT melalui internet, termasuklah storan data, kuasa pemprosesan, pangkalan data dan perisian. Semua ini boleh diakses tanpa memerlukan infrastruktur fizikal di lokasi pengguna. Hari ini, perkhidmatan seperti Amazon Web Services (AWS), Microsoft Azure dan Google Cloud telah mengubah cara organisasi beroperasi bagi membolehkan mereka menyewa keperluan IT mengikut penggunaan. Ia lantas dapat menjimatkan kos, meningkatkan fleksibiliti dan mempercepat inovasi. Malah, pengguna individu juga mendapat manfaat melalui perkhidmatan seperti Google Drive, Dropbox dan Microsoft OneDrive yang membolehkan simpanan dan perkongsian fail dengan mudah dari pelbagai peranti.

Cabaran dan Masa Hadapan

Walaupun pengkomputeran awan menawarkan pelbagai kelebihan, ia juga datang dengan cabaran seperti isu keselamatan data, privasi, dan kebergantungan kepada sambungan internet yang stabil. Namun, risiko ini dapat dikurangkan dengan perkembangan teknologi enkripsi dan keselamatan siber. Pada masa hadapan, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), rantaian blok (blockchain) dan komputer kuantum akan terus mendorong evolusi IT. Pengkomputeran awan akan menjadi asas utama kepada teknologi masa depan, terutamanya dalam membina sistem yang pintar, automatik, dan berskala besar.

Kesimpulan

Dari kad tebuk yang membaca arahan fizikal secara manual, ke arah pengkomputeran awan yang berasaskan digital dan maya sepenuhnya, dunia IT telah mengalami perubahan yang luar biasa. Evolusi ini tidak hanya mengubah teknologi, tetapi juga cara manusia hidup, bekerja, dan berinteraksi. Masa depan IT tampak lebih dinamik, terbuka, dan inklusif, membolehkan dunia bergerak ke arah masyarakat pintar yang lebih efisien dan mampan.

 

Oleh:
En. Mohd Amin Musa dan Dr. Hafizah Suzana Hussien
Pusat Teknologi Maklumat, UKM
amin@ukm.edu.my; suzana@ukm.edu.my

(Visited 53 times, 1 visits today)