NotebookLM.AI Sebagai Agen Pintar UKM – Transformasi Digital Warga Pelajar dan Kakitangan UKM
Dewasa ini, dunia pendidikan tinggi mengalami perubahan mendadak dari segi penggunaan teknologi lebih-lebih lagi apabila kempen transformasi digital dijalankan di kebanyakan Universiti Awam (UA). Tidak ketinggalan juga bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu salah satu dari UA yang merupakan universiti penyelidikan bertaraf antarabangsa. UKM terus-menerus komited melakukan perubahan ke atas kaedah pengajaran dan pembelajaran agar seiring dengan teknologi semasa. Usaha ini juga termasuklah cara melakukan kajian dan menguruskan kerja-kerja pentadbiran yang sentiasa dipertingkatkan agar sentiasa moden dan terkehadapan. Salah satu teknologi yang telah dipelopori oleh UKM adalah platform AI generatif yang dibangunkan oleh Google iaitu NotebookLM.AI.
Keistimewaan NotebookLM.AI ini adalah kerana berkebolehan membantu kerja-kerja manusia, bagaikan pembantu digital bijak. NotebookLM.AI boleh menganalisis dokumen, melakukan ringkasan teks, menjawab soalan-soalan serta menghasilkan nota yang kemas dan teratur berdasarkan bahan yang dimasukkan. Teknologi yang digunakan adalah Large Language Model (LLM) dan Retrieval-Augmented Generation (RAG). Istilahnya yang kedengaran canggih menggambarkan keupayaan serba boleh seperti menyediakan maklumat mengikut konteks yang diperlukan, lebih relevan dan paling unik adalah interaktif.
Di UKM, Pusat Teknologi Maklumat (PTM) adalah salah satu jabatan yang menjadi peneraju kepada penggunaan teknologi ini. PTM menyediakan infrastruktur, latihan dan integrasi sistem supaya pelajar dan staf boleh menggunakan NotebookLM.AI bagi tujuan pembelajaran, penyelidikan dan pentadbiran dengan lebih mudah. Di antara manfaat yang telah dikenal pasti melalui penggunaan NotebookLM.AI adalah seperti berikut.
- Manfaat kepada Pelajar
NotebookLM.AI telah membantu para pelajar memahami bahan kuliah, membuat tugasan dan melakukan kajian literatur. Setiap artikel penyelidikan yang dibaca oleh pelajar boleh diringkaskan dengan mudah menggunakan NotebookLM.AI. Malah, ringkasan artikel boleh dilakukan mengikut tema yang dikehendaki menjadikannya lebih tersusun dan mudah dicari semula. Hal ini telah menjimatkan banyak masa dan membantu mengurangkan tekanan para pelajar.
- Manfaat kepada Staf
Bagi staf pentadbiran, NotebookLM.AI membantu kerja-kerja pengkeranian dan pengurusan. Sebagai contoh, NotebookLM.AI membantu menganalisis minit mesyuarat dan memastikan setiap tindakan telah diambil. Malah, NotebookLM.AI juga boleh menghasilkan laporan serta surat rasmi mengikut format yang telah ditetapkan. NotebookLM.AI akan menyediakan draf dokumen berdasarkan dokumen lama atau tetapan yang disediakan. Oleh sebab itu, kerja-kerja berulang yang memenatkan sebelum ini tidak lagi menjadi beban kepada staf. NotebookLM.AI telah menjadikan kerja-kerja pengkeranaian serta pengurusan lebih mudah dan efisien.
- Integrasi dengan Sistem UKM
NotebookLM.AI bukanlah teknologi yang berdiri dengan sendirinya. PTM sebagai jabatan yang bertanggungjawab memajukan ICT di UKM telah merancang untuk menggabungkannya dengan sistem sedia ada seperti UKMFolio (platform pembelajaran dalam talian), e-Warga (platform pengurusan staf) dan SMPWEB (platform pengurusan pelajar). Sekiranya pengintegrasian ini berjaya direalisasikan, semua maklumat boleh diakses dengan lebih lancar dan menyeluruh.
- Cabaran yang Dihadapi
Seperti yang kita sedia maklum, setiap teknologi yang hadir pasti akan ada cabaran yang tersendiri. NotebookLM.AI merupakan perisian hebat, namun tetap tidak dapat menolak kemungkinan cabaran yang wujud semasa menggunakannya. Di antara cabaran yang mungkin dihadapi oleh para pengguna adalah isu kerahsiaan data yang perlu diambil kira memandangkan maklumat universiti tidak boleh disebarkan dengan sewenang-wenangnya. Kedua, tahap literasi digital bagi setiap pengguna adalah berbeza menjadikan penggunaannya sukar bagi sesetengah individu. Ketiga, perubahan budaya kerja daripada cara lama kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) akan menjadi kejutan dan memerlukan masa serta galakan berterusan untuk mengadaptasikannya.
PERBEZAAN KETARA SEBELUM DAN SELEPAS MENGGUNAKAN NOTEBOOKLM.AI
Beberapa perbezaan ketara sebelum dan selepas menggunakan NotebookLM.AI bolehlah diringkaskan seperti berikut.
Akses Maklumat
Sekiranya dahulu pencarian maklumat lebih kepada cara manual yang memerlukan masa yang banyak, kini pencarian maklumat hanya boleh dilakukan dengan menggunakan PROMPT tertentu kepada enjin AI.
Nota dan Ringkasan
Sekiranya dahulu para pelajar menulis sendiri nota pembelajaran yang banyak dan tidak tersusun, kini penulisan nota pembelajaran yang dibantu oleh AI boleh dilakukan secara automatik mengikut tema. Hal ini menjadikan penyediaan nota pembelajaran lebih mudah dan menjimatkan masa.
Produktiviti kerja
Sekiranya dahulu staf pentadbiran mengambil banyak masa menulis laporan, kini laporan boleh ditulis dengan cepat kerana enjin AI membantu menyediakan draf seperti mana tetapan yang disediakan.
Integrasi Sistem
Sekiranya dahulu data-data disimpan secara berasingan dan dicapai dari pelbagai sistem, kini pengintegrasian AI dengan sistem sedia ada memudahkan capaian data melalui satu sistem sahaja.
Literasi Digital
Sekiranya dahulu pelaksanaan literasi digital tidak konsisten dan sukar dilakukan, kini AI memudahkan pelaksanaan dengan latihan berterusan yang telah disediakan.
Kesimpulannya, penggunaan NotebookLM.AI dilihat amat berpotensi sebagai penanda aras kemajuan teknologi di UKM. Perisian ini membantu pelajar menguruskan pembelajaran dengan lebih teratur, manakala staf pula dapat melakukan kerja-kerja pentadbiran dengan lebih efisien. Seterusnya, seluruh kampus dapat bergerak ke arah budaya digital yang mesra dan terkehadapan. Dengan integrasi sistem yang betul, UKM boleh menjadi perintis universiti digital yang berimpak tinggi seiring dengan agenda Revolusi Industri 4.0. Transformasi ini bukan sekadar tentang penggunaan teknologi baru, tetapi juga tentang cara warga kampus mengadaptasi, meningkatkan kemahiran digital dan mengubah cara berfikir para pengguna untuk menerima AI sebagai “kawan kerja” dan bukannya ancaman. PTM UKM turut memainkan peranan besar dalam memudahkan semua ini melalui penyediaan infrastruktur dan latihan.
Disediakan oleh:
Ida Haryanti Muhammad Fuad
Hafizhah Suzana Hussien
(Pusat Teknologi Maklumat, UKM)
Dr. Mohamad Taha Ijab
(Institut Visual Informatik, UKM)
Dr.Noor Faridatul Ainun Zainal
(Fakulti Teknologi Sains Maklumat, UKM)


