.

Pengukuran Kualiti Data MyMohes

Sistem Pengumpulan Data KPT (MyMoheS) dibangunkan pada tahun 2006 dan digunakan sepenuhnya oleh semua Universiti Awam. Pekeliling pelaksanaan telah dikeluarkan pada tahun 2009 kepada pengurusan tertinggi KPT serta kepimpinan Universiti Awam. Bermula tahun 2012, penggunaan MyMoheS diperluaskan kepada Politeknik dan Kolej Komuniti bagi mewujudkan satu pangkalan data pengajian tinggi yang menyeluruh di peringkat KPT.

Pelaksanaan MyMoheS telah memperkukuh proses penyampaian data antara institusi pengajian tinggi dan KPT, di samping meningkatkan kualiti data secara berterusan. Sistem ini turut menyokong perkongsian data dengan agensi kerajaan lain serta membolehkan data dianalisis dengan lebih cekap bagi membantu KPT membuat keputusan yang tepat dan berkesan.

MyMoheS: Dari pengumpulan data terpencil hingga perkongsian data terpusat

Data berkaitan pelajar, staf, penyelidikan dan penerbitan yang direkodkan dalam sistem dalaman UKM akan diselaraskan dan dihantar ke MyMoheS. Peralihan ini telah mengubah landskap pengurusan data daripada pengumpulan yang bersifat terpencil kepada perkongsian data secara terpusat antara universiti, KPT dan agensi kerajaan lain.

Mengapa Kualiti Data MyMoheS Perlu Diukur?

Pengukuran kualiti data MyMoheS bertujuan memastikan data yang dihantar adalah tepat, lengkap dan boleh dipercayai. Data berkualiti membolehkan analisis dilakukan dengan lebih berkesan serta menyokong KPT membuat keputusan yang tepat dan pantas.

Kualiti data MyMoheS boleh dilihat melalui dua dimensi utama, iaitu statik dan dinamik. Dari sudut statik, penilaian tertumpu kepada ketepatan semantik (makna data), kelengkapan rekod dan fail, serta kewujudan rekod kosong seperti data NULL atau tidak diisi. Isu-isu ini lazimnya berpunca daripada data yang tidak lengkap atau tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Manakala dari sudut dinamik, kualiti data dinilai melalui ketepatan sintaktik, risiko ketepatan nilai yang tidak logik, kelengkapan atribut dan nilai, serta konsistensi format data. Dimensi ini menekankan keselarasan struktur dan kandungan data agar mematuhi piawaian yang ditetapkan, selaras dengan rujukan antarabangsa seperti ISO/IEC 25012 dan ISO/IEC 25024.

Kepentingan Pematuhan Jadual Penghantaran Data

Selain kualiti kandungan data, pematuhan jadual penghantaran data MyMoheS juga merupakan aspek penting. KPT menetapkan tempoh penghantaran data secara berkala, sama ada mengikut semester, tahunan atau keperluan tertentu. Kerjasama semua pihak di UKM, khususnya fakulti dan PTJ, amat diperlukan bagi memastikan data dikemas kini mengikut tempoh yang ditetapkan serta memenuhi piawaian kualiti yang ditentukan.Dengan ketersediaan data yang berkualiti dan dihantar mengikut jadual, UKM bukan sahaja memenuhi keperluan pelaporan KPT, malah memperkukuh amalan tadbir urus data dan menyokong transformasi ke arah universiti berasaskan analitik dan bukti.

Sumber:
ISO/IEC 25012 — Menerangkan definisi characterictics data quality
ISO/IEC 25024 — Measurement of data quality: provides measures including associated measurement methods and quality measure elements for the quality characteristics in the data quality model.
Portal Analitik Data MyMohes

Disediakan oleh
Siti Nor Safura Azmin
Farizan Othman
Gs. Aslinda Oon Ridzuan Oon
Norizwati Ibrahim
Nurul Aina Idris
Ida Haryanti Muhammad Fuad
Pusat Teknologi Digital (DigitalUKM)

(Visited 49 times, 1 visits today)