Repositori Etno-Sains Perubatan Melayu: Pendokumentasian Digital Khazanah Herba Melayu

Herba Melayu memainkan peranan yang penting dalam perubatan tradisional, meliputi pelbagai aspek kesihatan seperti rawatan penyakit, penjagaan ibu selepas bersalin, dan pemulihan tenaga. Tradisi ini, yang diwarisi sejak berabad-abad lamanya, kaya dengan pengetahuan mengenai tumbuhan tempatan dan penggunaannya. Namun, cabaran untuk mengekalkan dan menyebarkan ilmu ini menjadi semakin mendesak apabila banyak amalan tradisional semakin dilupakan, terutama dalam kalangan generasi muda.

Dalam era globalisasi dan digitalisasi, pendokumentasian warisan budaya tradisional menjadi semakin penting untuk memastikan kelestariannya untuk generasi akan datang. Menyedari kepentingan ini, projek pendokumentasian herba Melayu melalui repositori dalam koleksi pangkalan data Etno-Sains Perubatan Melayu mula diwujudkan. Portal Malaycivilization misalnya, menjadi medium yang mengintegrasikan pelbagai maklumat herba Melayu, termasuk deskripsi tumbuhan, kegunaan perubatan, dan kaedah penyediaan tradisional. Pangkalan data ini disusun untuk memastikan ia dapat dicapai dan difahami oleh pelbagai lapisan pengguna, termasuk pelajar, penyelidik, dan masyarakat umum. Usaha awal ini bukan sahaja memelihara khazanah tradisi herba Melayu, tetapi juga memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memperluaskan maklumat dan capaiannya kepada global.

Salah satu aspek utama dalam koleksi Etno-Sains Perubatan Melayu ini ialah glosari herba yang mengandungi maklumat terperinci tentang pelbagai tumbuhan ubat-ubatan. Setiap entri herba dilengkapi dengan nama saintifik, nama tempatan, deskripsi fizikal, dan penggunaannya dalam perubatan tradisional Melayu. Contohnya, herba seperti Kacip Fatimah (Labisia pumila) dan Tongkat Ali (Eurycoma longifolia) yang terkenal dengan manfaat kesihatan, didokumentasikan dengan maklumat lengkap tentang sifat-sifatnya, cara penyediaan, dan konteks budaya serta penggunaannya.

Di samping itu, repositori ini juga mengandungi maklumat tentang amalan perbidanan tradisional, seperti rawatan ibu selepas bersalin menggunakan herba-herba tertentu. Amalan ini menonjolkan hubungan rapat antara ilmu tradisional dan keperluan penjagaan kesihatan, yang sering kali melibatkan kombinasi pengetahuan perubatan dan kepercayaan budaya. Dengan mendokumentasikan maklumat ini dalam versi digital, ianya bukan sahaja memastikan pengekalan dan kelangsungan ilmu warisan tetapi juga membolehkan kajian lanjut dilakukan oleh golongan akademik dan profesional.


Kelebihan utama pendigitalan maklumat sebegini adalah kemampuannya untuk menjangkau khalayak yang lebih luas merentas sempadan global. Dengan hanya beberapa klik, pengguna boleh mendapatkan akses kepada maklumat yang dahulunya hanya boleh diperoleh melalui interaksi langsung dengan pengamal tradisional atau komuniti tertentu. Pendekatan ini menjadikan pengetahuan herba Melayu lebih inklusif dan relevan, khususnya dalam era moden yang semakin bergantung pada teknologi.


Langkah yang diambil dalam pendokumentasian herba perubatan Melayu menonjolkan bagaimana ICT dapat digunakan sebagai alat untuk melestarikan warisan budaya ini. Ia membuktikan bahawa teknologi tidak hanya terhad kepada pembangunan ekonomi dan komunikasi, tetapi juga berpotensi menjadi platform untuk memelihara sejarah dan identiti budaya. Di UKM, inisiatif seperti ini selaras dengan matlamat universiti untuk memperkasa bidang penyelidikan warisan dan budaya watan.

Walau bagaimanapun, usaha sebegini turut berdepan beberapa cabaran. Antaranya ialah memastikan ketepatan dan keaslian maklumat yang didokumentasikan. Proses ini memerlukan penyelidikan yang teliti, termasuk pengesahan melalui sumber tradisional serta rujukan saintifik yang berwibawa. Selain itu, isu perlindungan hak harta intelek juga menjadi perhatian utama bagi memastikan pengetahuan tradisional tidak disalahguna atau dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu. Oleh itu, kerjasama antara pelbagai pihak seperti komuniti tempatan, ahli akademik, serta agensi kerajaan dan swasta amat diperlukan bagi membangunkan garis panduan yang menyeluruh dan beretika. Hanya melalui pendekatan yang inklusif dan bertanggungjawab, pendokumentasian digital dapat dilaksanakan secara berkesan, adil, dan mampu memelihara warisan pengetahuan tradisional untuk manfaat generasi akan datang.

Kesimpulannya, repositori digital Etno-Sains Perubatan Melayu merupakan satu langkah signifikan dalam usaha mendokumentasikan dan melestarikan khazanah herba Melayu yang kian terpinggir. Melalui pengintegrasian ilmu tradisional dengan teknologi digital, projek ini bukan sahaja berperanan dalam memelihara warisan yang tidak ternilai, malah membuka ruang kepada penyelidikan lanjut, inovasi dan pemindahan ilmu secara lebih sistematik. Usaha ini turut memberi peluang kepada generasi kini dan akan datang untuk memahami, menghargai, serta meneruskan legasi keilmuan bangsa yang kaya dengan nilai budaya dan kearifan tempatan. Justeru, inisiatif sebegini wajar diteruskan oleh semua pihak demi memastikan kelangsungan identiti dan warisan bangsa alam Melayu.

Oleh:
Sri Yanti Binti Mahadzir, Razanah Ramya
yantie@ukm.edu.my; razanah.ramya@ukm.edu.my
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Visited 38 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *