JURNAL ANTARABANGSA ALAM DAN TAMADUN MELAYU

 

Masalah Alam Sekitar Berkaitan Perhutanan di Provinsi Riau, Indonesia

Jamaluddin Md. Jahi, Rusli Zainal & Muhammad Rizal Razman

ABSTRAK

Hutan yang merupakan sebahagian daripada persekitaran fizikal mempunyai banyak kegunaan sama ada dalam interaksinya dengan komponen-komponen fizikal yang lain seperti atmosfera, litosfera dan hidrosfera, ataupun manusia serta hidup-hidupan yang lain.  Pada peringkat awal kewujudan manusia hutan serta hasilnya termasuk haiwan telah digunakan sebagai pembekal bahan makanan.  Pertambahan populasi manusia dengan keperluan mereka yang lebih pelbagai terutamanya apabila mereka sudah tidak lagi berpindah-randah disertai dengan kemajuan teknologi telah menyebabkan hutan menjadi bukan hanya pembekal bahan makanan, tetapi juga pembekal bahan untuk binaan dan sebagainya. Perkara yang serupa berlaku pada hutan di Provinsi Riau di mana pada mulanya penerokaan hutan tidak seberapa, tetapi demi menampung keperluan hidup penduduk yang bertambah dan pelbagai bentuk pembangunan penyahhutanan telah berlaku dengan banyaknya.  Pembalakan dan pembukaan kawasan hutan untuk tujuan perladangan dan pertanian serta banyak lagi aktiviti lain telah sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung menimbulkan masalah kepada kesemua komponen utama alam sekitar iaitu biosfera, litosfera, hidrosfera dan atmosfera.  Sejak beberapa dekad yang lalu pelbagai masalah alam sekitar telah muncul terutamanya berkaitan dengan ancaman terhadap kepupusan biodiversiti, hakisan tanih, sumber air, pencemaran air sungai, banjir, kemarau, pencemaran udara dan kemungkinan perubahan iklim.

Kata kunci: penyahhutanan, alam sekitar, sumber air, banjir, pencemaran air, pencemaran udara, sinki karbon

Teks Penuh: PDF

Translate »