Muzium UKM

 Gerbang Warisan Ilmu UKM

Galeri Tuanku Canselor

Pengenalan

IMG_0355a

Galeri UKM merupakan sebuah lagi mercu tanda baru di kampus yang indah. Galeri ini adalah rakaman rentetan sejarah penubuhan, perkembangan dan kecemerlangan Universiti bagi tempoh selama tiga abad. Sejak penubuhannya pada 18 Mei 1970, setiap hari yang berlalu adalah sejarah bagi UKM yang telah berjaya melalui pelbagai rintangan dan cabaran usahanya untuk berdiri sebagai pusat kecemerlangan ilmu.

Galeri UKM terletak di lokasi strategik, di paras dua, Bangunan Pentadbiran Universiti yang menjadi tempat tumpuan pelbagai aktiviti Universiti, kawasan ini didatangi oleh seluruh warga Universiti dan masyarakat umum. Galeri dibina di ruang yang pernah dikenali sebagai Bilik Sri Menanti, kedudukannya yang strategik bakal memudahkan para tetamu dan pelawat-pelawat Universiti untuk singgah melawat. Galeri UKM berkonsepkan hiasan tradisi Melayu, menggunakan hiasan ukiran kayu, ditambah pula dengan hiasan keris sebagai senjata orang Melayu serta anyaman kelarai, menghiasi papan-papan pameran.

Matlamat

IMG_0327

Pembinaan Galeri ini diilhamkan oleh barisan kepimpinan Universiti yang diterajui oleh Y.Bhg. Prof. Datuk Dr. Anuwar Ali sempena Sambutan 30 Tahun kelahiran UKM. Hasrat ini didorong oleh keperluan untuk melihat detik-detik berlalu itu sebagai khazanah warisan Universiti. Galeri ini dibina untuk menjadi wadah yang dapat menyelamat, mengumpul, memelihara, mendokumentasi dan mempamerkan bahan-bahan sejarah yang berkaitan dengan penubuhan dan pencapaian UKM. Galeri ini juga akan berperanan sebagai pusat informasi bagi pelawat-pelawat yang berkunjung ke sini. Ia memberi kesempatan yang baik kepada warga kampus dan masyarakat umum untuk memahami dan menghayati kegemilangan UKM. Galeri UKM juga menjadi bahan bukti hasil perjuangan rakyat khususnya orang Melayu yang berusaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kelilmuan. Galeri ini juga akan dapat memupuk budaya yang memberi penghargaan dan penghayatan terhadap fakta dan nilai warisan sejarah.

Pengisian Galeri

IMG_0328

Pengisian dan susun atur bahan Galeri dilaksanakan dengan kerjasama antara Ahli Jawatankuasa Penubuhan Galeri, Perpustakaan Tun Seri Lanang dan Syarikat Amber Communications. Sesuai dengan konsep sebuah galeri di institusi pengajian tinggi, pengisiannya dibuat secara profesional dengan menggunakan teknologi penyalinan digital dan kaedah terkini yang menggunakan kanvas sebagai bahan pameran. Bagi melahirkan suasana harmoni dan ceria, gabungan bahan-bahan seperti poster, gambar, teks, anugerah, sijil, dokumen rasmi dan bahan media dipamerkan. Koleksi yang dipamerkan di Galeri ini menyaksikan dua bidang utama, iaitu bahan-bahan sejarah awal penubuhan UKM dan jejak langkah Universiti sejak ditubuhkan hingga ke hari ini. Bahagian yang kedua pula menonjolkan rakaman perkembangan dan kecemerlangan yang telah dicapai oleh Universiti sebgai pusat ilmu dan pendidikan. Bahan-bahan ini diatur menurut susunan seperti berikut:

Panel Pertama

IMG_0329a

Mempamerkan identiti UKM melalui huraian logo, penyata misi dan huraian falsafah UKM. Di sini juga dipamerkan logo baru dan logo lama, pengertian dan huraian setiap simbol yang terdapat di dalam logo UKM. Diikuti pula dengan lirik lagu “Varisiti Kita”.

Panel Kedua

2  IMG_0332a

Menyaksikan dokumen dan gambar mengenai sejarah awal penubuhan UKM. Gagasan terhadap penubuhan Universiti ini bermula dari cetusan minda seorang pendita dan pengarang terkenal ZA’BA pada tahun 1917. Cadangan ini diteruskan oleh seorang penulis terkemuka Kadir Adabi yang telah mengemukakan memorandum kepada raja Kelantan pada 1932. Perjuangan rakyat untuk mewujudkan sebuah Universiti yang mendaulatkan Bahasa Melayu berterusan. Detik sejarah bermula pada 25 Ogos 1968, dengan perlantikan sebuah Jawatankuasa Penaja Penubuhan UKM dalam satu perjumpaan sekumpulan cendiakawan Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada 18 Mei 1970, UKM telah ditubuhkan bertempat di kampus Maktab Perguruan di Lembah Pantai.   

Panel Ketiga

 IMG_0334a  3

Ruang seterusnya memaparkan tokoh-tokoh utama yang menjadi pelopor kepada penubuhan UKM, yang merangkumi gambar-gambar dan petikan ucapan Naib Canselor pertama, Pengerusi Majlis, Pendaftar, Bendahari dan Ketua Pustakawan. Diikuti dengan maklumat tiga fakulti perintis, iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Fakulti Sastera, serta senarai nama mahasiswa sulung UKM.

Panel Keempat

 4  IMG_0338a

Ruang ini memberi tumpuan kepada teraju utama yang memimpin UKM iaitu daripada kepimpinan dari peringkat awal sehingga kini. Di sini juga dipamerkan gambar-gambar DYMM Tuanku Canselor, barisan Pro-Canselor, Pengerusi-Pengerusi Majlis dan sembilan orang Naib Canselor.

Panel Kelima dan Keenam

 IMG_0339a  5

Mempamerkan perkara-perkara di bawah tajuk “UKM Mengukir Kejayaan”. Dalam usia 30 tahun, pelbagai usaha dijalankan bagi memantapkan perancangan dan program akademik Universiti. Pencapaian ini dapat dilihat melalui pembukaan kampus-kampus cawangan, perkembangan fakulti-fakulti baru, pertambahan kemasukan pelajar, pelajar warga asing, ahli-ahli akademik dan aktiviti lain yang menyumbang kepada kejayaan UKM sehingga menjelang alaf baru.

Panel Ketujuh dan Kelapan

 IMG_0344a  IMG_0342a

7  8

Menonjolkan kecermelangan Universiti melalui pemberian anugerah dan pengiktirafan. Pada setiap tahun Universiti telah menganugerhkan beberapa Ijazah Kehormat kepada cendiakawan dan negarawan yang berjasa dan terkemuka. Pada masa yang sama perkembangan akademik terus cemerlang dan berjaya menghasilkan beberapa penemuan dari hasil kajian dan penyelidikan. Beberapa orang ahli akademik telah menerima anugerah di atas kecemerlangan yang mereka capai pada peringkat antarabangsa.

Panel Kesembilan

  IMG_0347a 9

Ruang ini amat istimewa kerana ia memaparkan perkara-perkara yang berkaitan dengan upacara rasmi di Majlis Konvokesyen. Di sini disusun gambar-gambar sekitar konvokesyen pertama hingga konvokesyen ke 28.  

 11  10

IMG_0336  12

Empat buah kabinet yang disusun di ruang tengah Galeri mempamerkan aritifak dan hasil-hasil ciptaan ahli-ahli akdemik yang telah menerima pengiktirafan. Dipamerkan juga anugerah, pingat dan sijil yang diterima oleh meraka. Pada keseluruhannya, kejayaan menubuhkan Galeri UKM ini adalah atas dorongan dan sokongan padu pihak pengurusan Universiti, di samping komitmen dan semangat kerjasama yang diberikan oleh Ahli Jawatan Kuasa Penubuhan dan Pelancaran Galeri yang pada awalnya dipengerusikan oleh bekas Ketua Pustakawan, Cik Norsham Muslim. Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penubuhan dan Pelancaran Galeri yang pertama telah diadakan pada 11 Januari 1999, perbincangan demi perbincangan diadakan bagi merancang pembinaan sebuah galeri dengan menggunakan ruang yang sedia ada, iaitu Bilik Seri Menanti. Beberapa buah kertas kerja telah disediakan bagi memohon peruntukan bagi pembinaan dan pengisian Galeri. Tugas sebagai Pengerusi Ahli Jawatankuasa Galeri ini kemudiannya disambung oleh Puan Putri Saniah Megat Abd. Rahman berikuta dengan persaraan Cik Norsham Muslim pada 9 Mac 2000. Hasil perbincangan, rujukan dan lawatan yang telah diadakan, maka terbinalah sebuah Galeri yang menjadi kebanggaan Universiti. Semoga Galeri yang bersejarah ini menjadi saksi kepada generasi akan datang bahawa sekumpulan warga Universiti telah berpadu tenaga, idea dan pemikiran bagi membangunkan Galeri UKM.

Translate »