Muzium UKM

 Gerbang Warisan Ilmu UKM

Sejarah

Urutan Peristiwa Sejarah Perjuangan ke arah

Penubuhan Universiti Kebangsaan

POSTER-FINAL-4APRIL-(1)a

  • 1903

Cetusan pertama gagasan perlunya pendidikan tinggi untuk orang Melayu berlaku dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja.

  • 1917

Gagasan untuk mewujudkan sebuah Universiti yang menggunakan bahasa Melayu telah disuarakan melalui akhbar Lembaga Melayu pada bulan Mei 1917 oleh pendeta Za’aba.

  • 1923

Gagasan  Za’aba turut mendapat sokongan daripada Abdul Kadir Adabi iaitu seorang tokoh penulis, yang telah menghantar memorandum kepada Sultan Kelantan pada tahun 1923, supaya menubuhkan sebuah universiti untuk orang-orang Melayu.

  • 1930

Timbul kesedaran tentang pentingnya pendidikan untuk membangunkan bahasa Melayu dalam kalangan golongan pertengahan, guru-guru dan wartawan Melayu, tetapi usaha mereka menghadapi tentangan daripada pihak penjajah.

  • 1940

Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Semenanjung (KPGMS) melalui Majalah Guru berterusan menyuarakan persoalan tentang pendidikan orang-orang Melayu dan penggunaan bahasa Melayu tetapi persoalan ini tidak mendapat perhatian pihak pemerintah.

  • 1956

Penyata Pelajaran Razak menerima cadangan utama KPGMS untuk mendaulatkan bahasa Melayu dan melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan untuk meningkatkan taraf pendidikan Melayu.

  • 1957

Kemerdekaan Tanah Melayu meningkatkan perjuangan menuntut penubuhan Universiti Kebangsaan serta memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

  • 1960

Penyata Rahman Talib menyokong penggunaan bahasa Melayu dalam pelajaran menengah Melayu tetapi peluang pelajar-pelajar untuk ke universiti adalah terhad.

  • 1963

Seminar Bahasa dan Sastera Melayu di maktab Perguruan Bahasa telah meminta sebuah universiti yang bercorak kebangsaan.

  • 1966

Seminar Bahasa Kebangsaan di Universiti Malaya pada 29 Oktober 1966, menyatakan keperluan universiti untuk menampung pelajar-pelajar aliran kebangsaan.

  • 1967

Sekumpulan cendekiawan Melayu di Universiti Malaya telah bergabung usaha untuk mempelopori gerakan penubuhan universiti yang menggunakan bahasa Melayu. Kesungguhan mereka telah mendapat sokongan padu dari pelbagai pihak. Tabung Penubuhan Universiti Kebangsaan telah dilancarkan dan mendapat sokongan luar biasa sehingga masyarakat desa dan murid-murid sekolah turut memberi derma.

  • 1968

Jawatankuasa Penaja Universiti Kebangsaan ditubuhkan pada 25 Ogos 1968 hasil pertemuan 50 orang cendekiawan Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Tun Syed Nasir Ismail, Ketua Pengarah DBP pada masa itu. Pada 5 November 1968, Timbalan Perdana Menteri iaitu Tun Abdul Razak telah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Penaja untuk mengadakan Kongres Universiti Kebangsaan.

  • 1969

Pada 24 Januari 1969, Menteri Pelajaran iaitu Khir Johari mengumumkan bahawa Universiti kebangsaan akan ditubuhkan pada tahun 1970 dan sebuah Jawatankuasa Penggubal Perlembagaan Universiti Kebangsaan dibentuk. Pada 15 Mac 1969 berlangsung Kongres Universiti Kebangsaan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dengan pelbagai rintangan dan halangan. Kongres ini mengusulkan supaya Universiti kebangsaan memulakan pengajian pada tahun 1970.

Menteri Pelajaran baru, Datuk Abdul Rahman Yaakub telah dilantik selepas peristiwa 13 Mei 1969. Beliau telah membawa falsafah baru untuk melaksanakan Dasar Pelajaran kebangsaan dan mengumumkan Universiti kebangsaan akan memulakan pengajian pada bulan Mei 1970 (Utusan Zaman, 29 Jun 1969). Dr. Rashdan Baba dilantik menjadi Naib Canselor Universiti kebangsaan yang pertama pada 1 September 1969.

  • 1970

Menteri pelajaran Datuk Abdul Rahman Yaakub mengumumkan secara rasminya penubuhan Universiti Kebangsaan pada 18 Mei 1970, mula beroperasi di bangunan Maktab Perguruan Persekutuan, Kampus Jalan Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Universiti Kebangsaan bermula dengan tiga fakulti perintis iaitu Fakulti Islam, Fakulti Sastera dan Fakulti Sains. Jumlah pelajar sulung Universiti Kebangsaan Malaysia adalah seramai 192 orang.

Translate »