Latar Belakang

Latar belakang sejarah Nic Negara Bangsa

UKM telah terpilih sebagai Universiti Penyelidikan (UP) pada 2006, di samping UM, USM dan UPM. Semenjak itu, UKM telah merancang dan melaksanakan beberapa pendekatan untuk merealisasikan kefahamannya mengenai konsep UP, yang bertunjangkan KPI yang telah ditentukan oleh JPT, supaya akhirnya diharap boleh mengangkat UKM ke pentas dunia sebagai sebuah ‘global university’ atau ‘world-class university.’

Bermula dengan konsep ‘bidang tujahan’ pada akhir 2006, UKM telah berubah kepada konsep niche atau nic pada awal tahun 2008 sebagai pendekatan governans sekali gus menjadi wahana UP UKM. Bermula dengan enam nic, akhirnya UKM telah menentukan lapan nic penyelidikan terpenting  pada Ogos 2008. Pengurusan dan pengagihan dana UP dilakukan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) UKM, yang kini dikenal dengan singkatan Bahasa Inggerisnya, iaitu, CRIM (Centre for Research & Innovation Management).

Pada suku pertama 2009, berlaku suatu anjakan paradigma dalam pendekatan UKM memantapkan perancangan, pelaksanaan dan urus tadbir penyelidikannya dalam konteks UP. Perubahan ini dihuraikan dengan jelas oleh YBhg. Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, dalam Syarahan Naib Canselor 2009 beliau pada 17 April 2009, berjudul Membina Momentum, Menatar Keunggulan: Ekosistem Ilmu UKM sebagai Wahana.

Sebelum konsep nic diperkenalkan dalam Syarahan NC 2008, konsep ‘Bidang Tujahan’ menjadi kerangka governans penyelidikan UKM sebagai sebuah UP. Ini bermula pada November 2006. Pada 2008, apabila Nic JKKBG diasaskan ianya menggabungkan tiga bidang tujahan yang sedia ada ketika itu, iaitu, ‘Transformasi dan Keselamatan Sosial’, ‘Teknologi Maklumat dan Komunikasi’ dan ‘Ekonomi dan Perniagaan.’ Setiap bidang tujahan tersebut ada kelompok dan kumpulan/team penyelidikan masing-masing.

Pengaplikasian konsep nic, semenjak April 2008, merupakan satu perubahan orientasi governans, tetapi tidak kandungan ilmiah dan perkara yang hendak dikaji, biarpun dilaksanakan beberapa penyesuaian dalaman. Sebanyak tujuh nic telah diperkenalkan. Pada Ogos 2008, satu lagi nic telah  diwujudkan ‘ICT: Informatik Isian.’ Semenjak 2008 tidak ada lagi nic baru yang diperkenalkan sehinggalah pada 2013 apabila nic-nic penyelidikan di UKM distruktur dan dimantapkan semula.

Teratas di antara tujuh nic yang disenaraikan ketika itu ialah ‘Nic Jatidiri Kebangsaan, Negara Bangsa, Kepelbagaian Budaya dan Globalisasi’ (JKKBG). Nic ini diberikan kedudukan sedemikian kerana UKM adalah satu-satunya universiti bergelar ‘kebangsaan’, yang diberikan tanggjung jawab khusus bukan hanya untuk membina suatu korpus ilmu pengetahuan dalam Bahasa Kebangsaan, iaitu, Bahasa Melayu, bahkan juga membina jatidiri kebangsaan melalui pemenuhan tuntutan berkenaan.

Jelas bahawa skop Nic JKKBG bukan hanya meliputi bidang sains sosial dan kemanusiaan bahkan juga kerelevanannya menyentuh bidang sains dan teknologi (S&T), khususnya, meneliti impak sosial S&T terhadap kehidupan sosial dan jatidiri kebangsaan. Peri pentingnya peranan Nic JKKBG dalam usaha UKM ke arah menjadi UP unggul telah dinyatakan jelas dalam dokumen ‘UKM sebagai Universit APEX’ pada 2008 dan terakhir dalam Syarahan NC 2009.

Pada awal 2009, governans dalam Nic JKKBG telah dikemaskini mengikut kelompok penyelidikan (Research Cluster), iaitu, sembilan kesemuanya, dan dalam setiapnya terdapat beberapa kumpulan penyelidikan (research groups), berjumlah kesemuanya 40. Kelompok penyelidikan tersebut ialah Kepelbagaian Etnik & Budaya, Globalisasi & Proses  Transnasional, Pembangunan  Ekonomi dan Pengurusan Sumber, Keantarabangsaan Perundangan,  Keselamatan Sosial & Kesejahteraan Insan, Peradaban, Pemikiran & Teknologi Alam Melayu, Transformasi Pendidikan dan Identiti  Nasional, Pembangunan Sosial & Pembinaan Negara Bangsa, dan Pembangunan Insan dan Tamadun Islam.

Nama baru yang diberikan kepada Nic JKKBG ialah ‘Cabaran Membina Negara Bangsa’ (Challenges Building a Nation-State). Dari segi konsep, seperti yang dinyatakan dalam Syarahan NC 2009, peranan nic ini bukan hanya untuk bidang sains sosial dan kemanusiaan bahkan juga bertanggung jawab untuk meneliti impak sosial aspek sains dan teknologi (S&T) terhadap usaha membina negara sekali gus kepada masyarakat umum. Dari segi halatuju, nic ini memberi semangat baru, di samping merupakan branding baru untuk nic yang cukup penting ini. Perubahan ini amat sesuai serta serasi dengan perkembangan mainstream semasa bidang serta ilmu sains sosial, kemanusiaan dan ilmu S&T yang mendukung semua penyelidikan nic ini. Inilah latar belakang sejarah Nic Negara Bangsa sebelum 2013.

 

Pengenalan Nic Negara Bangsa

Pada 23Januari 2013, Universiti Kebangsaan Malaysia telah mewujudkan empat lagi Nic Penyelidikan baru menjadikan 12 nic penyelidikan dengan penambahan pembiayaan kerajaan daripada RM80 juta setahun kepada RM100 juta bagi 2013. Nic baharu itu adalah Transformasi Desa; Pendidikan, Budaya dan Peradaban; Politik dan Keselamatan serta Ekonomi dan Kewangan. Dalam masa yang sama, nama Nic Cabaran Membina Negara Bangsa juga telah ditukar kepada Nic Negara Bangsa. Jika diperhatikan, penstrukturan ini dilaksanakan agar penyelidikan-penyelidikan di UKM dapat dilakukan secara lebih terfokus, efektif dan terancang sesuai dengan tuntutan isu-isu semasa dan perkembangan mutakhir sama ada di peringkat lokal mahupun global. Ini juga adalah sesuai dengan kehendak pihak stakeholders, industri dan kerajaan seperti membantu Program Transformasi Ekonomi (ETP) Negara.

Kini, Nic Negara Bangsa terdiri daripada 3 kluster iaitu Kluster Etnisiti dan Kesepaduan Sosial, Kluster Alam Melayu dan Pensejarahan Sosial dan Kluster Komunikasi dan Pembentukan Identiti. Setakat ini, 2 kumpulan yang bernaung di bawah Kluster Etnisiti dan Kesepaduan Sosial iaitu Kumpulan Etnisiti dan Makanan dan Kumpulan Agama dan Kesederhanaan. Manakala Kluster Alam Melayu dan Pensejarahan Sosial pula terdiri daripada 5 kumpulan iaitu Kumpulan Bahasa Melayu dan Kepelbagaian Dialek, Kumpulan Kebudayaan, Kesenian dan Peradaban Melayu, Kumpulan Teknologi dan Kelestarian Peradaban Melayu, Kumpulan Kebudayaan Arab & Peradaban Islam, Kumpulan Keagamaan dan Pemikiran Islam dan Kumpulan Perundangan Islam dan Muamalat. Kluster Komunikasi dan Pembentukan Identiti pula mengandungi 3 kumpulan iaitu Kumpulan Kajian Gender, Kumpulan Komunikasi dan Kesihatan dan Kumpulan Bahasa Kebangsaan dan Globlisasi. Penyelidikan kumpulan-kumpulan dalam nic ini semuanya akan membawa kepada suatu matlamat yang diidamkan iaitu ‘Keharmonian Etnisiti dan Kesejahteraan Komuniti’ iaitu suatu aspek penting yang tidak boleh diabaikan dalam hal-hal kemasyarakatan ketika Malaysia menuju untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi. Di samping itu, nic ini juga tidak meminggirkan isu-isu yang berkaitan di peringkat global.