Menyediakan Generasi Saintifik Masa Hadapan dalam Menongkah Cabaran Abad ke 21

Menyediakan Generasi Saintifik Masa Hadapan dalam Menongkah Cabaran Abad ke 21

Pendidikan dan proses P&P kini semakin mencabar dan keberhasilan P&P perlu mengarah kepada penghasilan insan yang peka terhadap krisis dunia yang semakin meruncing meliputi tenaga dan pengeksploitasian sumber, pencemaran alam dan perubahan iklim, pertanian dan kecukupan makanan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat dalam melestarikan pembangunan dan menjana ekonomi sejagat. Pendidikan holistik dan bersepadu yang perlu dikembangkan seharusnya tidak lagi melihat bidang-bidang terceruk sebagai pengkhususan yang menjurus kepada kerjaya eksklusif individu tetapi pendekatan rentas bidang ke arah pembinaan insan yang lebih menyeluruh (syumul, holistik), serta lebih bersedia mendepani dan menyelesaikan masalah-masalah sejagat. Dalam usaha menghasilkan insan seperti mana yang dicitrakan menjelang Malaysia Negara Maju 2020, ilmu sains tidak boleh lagi diajar secara diskret seperti mana yang lazimnya diamalkan, bahkan ia perlu disepadukan dengan ilmu yang berteraskan Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Sebagai Universiti Kebangsaan Malaysia yang mendukung falsafah pembinaan insan yang menyepadukan iman, ilmu, amal serta teori, dan tidak ketinggalan teknologi, usaha yang mampan diperlukan dalam menghasilkan pengalaman pembelajaran STEM yang bukan hanya menyepadukan penemuan terkini dalam penyelidikan pendidikan sains, bahkan ia turut perlu didasarkan kepada ilmu alQuran dan Hadis. Kesepaduan ini cuba diungkapkan dan diterjemahkan dalam bentuk yang lebih konkrit dan boleh garap (hands-on) serta menyasarkan generasi yang lebih umbi supaya akhirnya terbina lah insan berilmu yang dinamai Ulul Albab. Hasrat inilah yang telah diusahakan oleh Kelompok Penyelidikan Peradaban dan Pendidikan STEM yang terdiri dari Kumpulan Penyelidikan Pendidikan STEM, STEMind (STEM Islamik dan Dakwah) dan Pendidikan Ruhiyy Ilmu Sains Matematik (PRISMa). Tegasnya dalam merealisasikan usaha murni ini, tumpuan yang diberikan oleh Kelompok Peradaban dan Pendidikan STEM ialah memastikan sinergi dalam penggemblengan usaha ke arah penguasaan konsep asas STEM yang bermakna, peningkatan kemahiran pedagogical STEM ke arah pemugaran minat terhadap mata pelajaran tersebut dan di tahap yang lebih ideal, menghasilkan insan yang syumul dan holistik melalui aktiviti pengayaan STEMind.

 

Pemupukan minat terhadap sains dan teknologi hanya boleh dilentur seandainya pelajar mempunyai latar belakang pemahaman dan penguasaan konsep asas sains dan matematik yang bermakna. Dalam konteks ini, Kumpulan Pendidikan Ruhiyy Ilmu Sains Matematik (PRISMa) telah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan minat masyarakat, terutama pelajar sekolah terhadap subjek matematik, melakukan anjakan paradigma terhadap subjek matematik, mempopularkan subjek matematik dalam kalangan masyarakat, menggalakkan pelajar menjurus dalam bidang Sains amnya dan matematik khasnya dan memperlihatkan peranan dan kedudukan matematik dalam kehidupan seharian. Usaha ini kemudiannya digandingkan dengan tumpuan yang diberikan oleh penyelidikan Kumpulan Pendidikan STEM yang menjuruskan usaha ke arah peningkatan kualiti pembelajaran pelajar dan pengajaran guru dalam mata pelajaran asas sains dan matematik. Kepercayaan dan pengetahuan guru dicungkil, kemahiran dan bakat pedagogi mereka digilap dan penglibatan pelajar melalui pembelajaran aktif diperkasakan melalui penyediaan pelbagai modul pembelajaran seperti Pembelajaran Berasaskan Masalah, Pembelajaran Berasaskan Permainan, Pembelajaran Menggunakan Graphic Calculator, Pembelajaran Berperantarakan Agen Pedagogi, Pembelajaran Berasaskan Otak serta banyak lagi seperti mana yang terhimpun dalam direktori penyelidikan Pendidikan STEM. Tidak ketinggalan, penyelidikan turut menumpukan kepada pelajar terpinggir dan tidak beruntung agar ilmu jurang pengetahuan sains dan matematik dapat dikurangkan sekali gus membuka peluang pendidikan untuk semua. Dalam memastikan misi tersebut terjelma nyata dalam konteks perkembangan pendidikan sains glokal, Kumpulan Pendidikan STEM turut prihatin kepada perkembangan profesionalisme guru dengan menerajui penyelidikan yang menumpukan kepada peningkatan kemahiran pedagogi isi kandungan guru untuk pengajaran secara formal mahupun informal. Kepercayaan turut diberikan kepada Kumpulan Penyelidikan STEM untuk  mempelopori kajian Lesson Study di Malaysia yang antara lain, bertujuan meningkatkan kemahiran pedagogi guru melalui penilaian dan usaha kolaboratif rakan sebaya serta penilaian keberkesanan latihan guru STEM di Malaysia.

 

Manakala penyelidikan yang dilakukan oleh Kumpulan STEMind merupakan penyelidikan unik rentas bidang yang telah menggabungkan keupayaan Bidang Tafsir sehingga penterjemahan dan tadabbur ayat-ayat yang disepadukan dengan Pandang Alam dan terbitan teknologinya sebagaimana yang diwawaskan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Kumpulan yang disertai oleh ahli akademik pelbagai lapisan ini mempunyai halatuju untuk menyepadukan elemen STEM berteraskan Tauhid atau Sains Tauhidik melalui kajian pembangunan, penilaian dan intervensi P&P bersepadu dan disampaikan kepada generasi yang lebih umbi melalui proses pemindahan ilmu (knowledge transfer) secara terus dan berperantara. Selain itu, jati diri kebangsaan yang bertapak dalam alam Melayu juga dibina semula dengan memberi kesedaran akan kekayaan dunia dan kebudayaan Melayu dalam membentuk nilai-nilai murni budaya bangsa. Sejak penubuhan kumpulan pada Tahun 2012, STEMind telah membina modul-modul pemerkasaan Ulul Albab berasaskan kepada ayat-ayat AlQuran dan AlSunnah yang dikelompokkan kepada enam komponen pembina: 1) modul-modul Jati Sedar Diri Manusia Sebagai Khalifah (Modul Ana Khalifah) secara gabungan pendekatan ampuh Sunnatullah dan Sunnah Rasul, dengan pendekatan santai dan berinovasi; 2) modul-modul Ibadah Harian yang diperkukuhkan pemahamannya dengan penemuan sains dan pembangunan teknologi terkini dalam meningkatkan rasa khusyu’. Ini termasuklah kefahaman terhadap analisis kitar hayat air dan teknologi penjimatan air, kajian biomekanik (matematik) dalam rukun fi’li solat serta teknologi laser (inframerah) dalam pembetulan arah qiblat. 3) Modul-modul perkasa jasmani dan kerohanian yang melibatkan hasil-hasil kajian terhadap makanan dan pemakanan yang disebut dalam alQuran dan Hadis, kaedah pengesanan penyakit melalui pembedahan mikro dan pengesan pengimejan digital 2D dan 3D, serta fisiologi, biofizik dan matematik dalam Sunnah Riadah larian, berenang, berkuda, memanah dan beradu tenaga; 4) Modul-modul pandang dan tadabbur alam yang meliputi pemerhatian dan cerapan terhadap angkasa, alam batuan, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga sosial yang menerbitkan faham terbitan teknologi biomimetik; 5) Modul-modul teknologi maslahah ummah yang bermula dengan terjemahan pandang alam kepada teknologi beinspirasikan hayat dan alami yang menerbitkan teknologi penerbangan, pergerakan dan kecerdasan buatan pada robot-robot, kepada pertanian bioteknologi moden hingga pencetusan pembangunan lestari dan tauhidik; dan akhir sekali 6) Modul-modul Kesarjanaan Islam yang membina kemahiran insaniah bagi menyampaikan dakwah berhikmah meliputi penulisan, pengucapan umum, pengenalpastian dakyah alam siber dan perkongsian pengalaman oleh penyelidik, penulis, perekacipta dan pendakwah bukan popular.

 

STEMind telah mendapat perhatian sejak ditubuhkan dengan menerima pelbagai jemputan pembentangan dan perbincangan serta telah beberapa kali ditemubual untuk penampilan dalam media massa. Ini termasuklah jemputan ke Kongres dan Forum P&P FST, Kongres P&P UKM, Siri Kolokium Islam Pahang dan Bengkel konsep muzium islam dan pengisian Muzium Masjid Sultan Abdullah (MMSA) oleh Lembaga Muzium Pahang, Kongres Pendidikan Islam, Konvensyen Sekolah-Sekolah Agama Menengah Tahfiz Aliran Sains, jemputan VIP ke program Maahad-maahad tahfiz, Perbincangan Konsep Quranic Garden Living Lab PERMATAinsan, serta penampilan beberapa kali dalam Majalah Infiniti Kumpulan Utusan dan Slot Perspektif TVAlHijrah. Selain itu, STEMind juga menjadi penyokong dan komponen ruhiyy dalam Program Bitara STEM UKM yang telah jayanya dilaksanakan bersama FELDA dengan penyelidik-penyelidik STEMind dikenalpasti sebagai Mentor untuk program lanjutan Pementoran Penyelidikan Pelajar (SRMP) FELDA ke New York City. Justeru, tidak hairanlah dalam masa yang terdekat, hasil-hasil penyelidikan penilaian hasil P&P dan pembangunan konsep STEMind akan mula diterbitkan untuk menjadi model yang dikongsikan dalam dunia akademik serta meraih perhatian di peringkat global.

 

12 9 8 7 6 5 4 3 2 1