Penubuhan SEADPRI – The Inaugural of SEADPRI

Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI-UKM) (en: Southeast Asia Disaster Prevention Research Institute (SEADPRI-UKM); ch: 东南亚防灾研究所) telah ditubuhkan pada 1 Jun 2008 sebagai sebuah institusi penyelidikan di bawah struktur pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). SEADPRI-UKM menjalankan penyelidikan yang bersifat holistik berkaitan bencana meliputi skop wilayah yang global bagi membantu kerajaan dalam membuat keputusan dasar mengenai bencana iklim, bencana geologi dan bencana teknologi serta meningkatkan modal insan dan kemampuan tenaga kerja di peringkat tempatan, negeri, kebangsaan dan antarabangsa, khususnya Asia Tenggara.

 

Objektif penubuhan SEADPRI
  • Menjadi pusat penyelidikan terfokus bagi mengembang ilmu dalam bidang bencana iklim, bencana geologi dan bencana teknologi di peringkat kebangsaan dan rantau Asia Tenggara.
  • Menjadi pusat penyelidikan multidisiplin dalam pengurusan bencana khususnya dalam konteks dasar, governans dan pencegahan bencana serta respon pascabencana.
  • Membangunkan modal insan mahir untuk menangani isu bencana bagi pihak kerajaan dan swasta melalui program lepasan ijazah, khususnya dalam bidang berkaitan sains dan teknologi bencana, aspek kemasyarakatan dan governans bencana.
  • Menjadi pusat rujukan Asia Tenggara tentang isu sains dan governans bencana.

 

SEADPRI-UKM ditadbir oleh Pengarah, Timbalan Pengarah dan tiga Penyelaras Program. Perancangan penyelidikan di Institut akan sentiasa dipandu oleh Panel Penasihat Antarabangsa. Penyelidik SEADPRI-UKM dianggotai oleh Felo Antarabangsa, Felo Kebangsaan dan Felo Penyelidik Teras dari UKM.