Selamat datang ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Pusat Perubatan UKM merupakan pusat perubatan akademik yang telah diwujudkan oleh penggabungan Fakulti Perubatan dan hospital pembelajaran, Hospital UKM. Penggabungan ini menyatukan pembelajaran yang hebat dan kemampuan penyelidikan para-para ahli akademik, dan kemudahan-kemudahan klinikal yang mantap dengan kakitangan-kakitangan hospital. Langkah inovatif ini mengubah institusi ini untuk menjadikannya salah satu pusat perubatan akademik yang terunggul.
Sejarah pusat ini bermula apabila Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan pada 30hb Mei 1972. Penubuhannya adalah berdasarkan aspirasi rakyat untuk mewujudkan institusi perubatan kebangsaan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perantaraan. Aspirasi pada masa itu adalah untuk mengeluarkan doktor-doktor tempatan, yang dilatih dan berkaliber, untuk mengatasi masalah kekurangan doktor di Malaysia, terutamanya untuk berkhidmat di kawasan-kawasan luar Bandar. Pada mulanya, Hospital Kuala Lumpur digunakan sebagai hospital pembelajaran. Pada tahun 1997, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menubuhkan hospital pembelajarannya sendiri, Hospital UKM dan Fakulti Perubatan telah dipindahkan ke Hospital UKM di Cheras, Kuala Lumpur.
Pada 20hb Februari 2008, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Tan Sri Dato' Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin telah mengemukakan keputusan pihak pengurusan tertinggi UKM untuk menggabungkan Fakulti Perubatan dan Hospital UKM untuk dijadikan penyatuan pusat perubatan akademik yang dinamakan Pusat Perubatan UKM. Prof. Dato’ Dr. Lokman Saim telah dilantik sebagai Dekan dan Pengarah pada 28hb Februari 2008. Beliau dibantu oleh seorang Ketua Pegawai Operasi (KPO) dan 5 Timbalan Dekan. Ketua Pegawai Operasi memastikan perkhidmatan-perkhidmatan dan pengurusan hospital dilakukan dengan lancar dan tanpa gangguan dengan mengambil berat kepuasan hati para pesakit dan pelanggan manakala Timbalan-timbalan Dekan mempunyai tanggungjawab yang spesifik sepertimana yang tertera pada jawatan mereka – Timbalan Dekan Prasiswazah dan Hubungan Masyarakat, Timbalan Dekan Siswazah dan Hubungan Antarabangsa, Timbalan Dekan Pembangunan dan Sumber Manusia, Timbalan Dekan Perkhidmatan Klinikal dan Timbalan Dekan Penyelidikan. |