25 Mahasiswa UKM Sertai Eksplorasi Pertukaran Budaya di Universitas Indonesia

Oleh Anastasia Julitta Anak Jomet
Foto oleh Batrisyia Insyirah Shahrudin

JAKARTA, 4 Januari 2024 – Seramai 25 orang mahasiswa dari Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyertai Program Mobiliti Antarabangsa Ke Universitas Indonesia, Jakarta, baru-baru ini.

Program julung kali diadakan itu adalah bagi memenuhi aspirasi Kolej Akademia melalui kolaborasi Kolej Kediaman – Fakulti bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Bertemakan “Perkasa Budaya Bangsa Serumpun” peserta program yang dikenali sebagai Syed Nasir Cross-Cultural Odyssey of Nurturing Exchange (Syed Nasir CONNECTS) diadakan dengan tujuan untuk melahirkan pelajar yang mempunyai kesedaran budaya luar sekaligus meningkatkan kemahiran insaniah.

Program selama lima hari yang bermula pada  28 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024 itu padat dengan pelbagai aktiviti yang memberi peluang interaksi pertukaran budaya antara pelajar Malaysia dan Indonesia. Antaranya adalah eksplorasi seni kebudayaan, makanan tradisi, pakaian tradisi, bahasa dan senibina.

Menurut Pengetua Kolej Tun Syed Nasir, Prof Madya Dr Mohd Razif Shahril, program itu berjaya menyerlahkah kemahiran bakat pelajar dalam berorganisasi.

“Kejayaan program ini akan diteruskan dengan mobiliti pada tahun hadapan dengan kerjasama Universiti Chulalongkorn, Thailand,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta dari UKM, Nik Ilya Suhana Nik Azni berkata pengalaman yang diperoleh melalui program tersebut membuka minda mereka untuk meraikan kepelbagaian budaya dan adat sesebuah masyarakat dalam rumpun yang sama.

Adam Ferdinand, peserta dari Universitas Indonesia pula berpendapat, walaupun terdapat kepelbagaian budaya yang dapat dilihat melalui sesi perkongsian yang dijalankan, namun banyak juga persamaan yang dapat diraikan kerana Malaysia dan Indonesia adalah negara yang berasal dari  rumpun bangsa yang sama.

Program Mobiliti Antarabangsa ke Universitas Indonesia disempurnakan oleh wakil Dekan Fakulti Farmasi, Universitas Indonesia, Dr Sutriyo.

Program ini adalah kerjasama antara KTSN dengan Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Kesatuan Mahasiswa UKM, Fakulti Sains Kesihatan dan Fakulti Farmasi.

Leave a Reply