3,000 Warga UKM Berarak Sekitar Kampus Sempena Sambutan Maulidur Rasul

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi dan Izwan Azman

BANGI, 22 Oktober 2025 – Hampir 3,000 warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berarak di sekitar kampus Bangi sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat UKM 1446H/2024M, semalam.

Sambutan Maulidur Rasul itu diadakan bagi menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada Nabi Junjungan Rasulullah SAW dan menzahirkan syiar Islam dengan tema Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan pada tahun ini “Membangun Ummah Madani”.

Perarakan itu dimulakan dari Dataran Panggung Seni, Koleh Dato’ Onn, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Pusanika, Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Sains dan Teknologi, Kolej Ungku Omar, Institut Alam dan Tamadun Melayu dan berakhir di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Semasa menyampaikan ucapan, Naib Canselor, Prof Dr Sufian Jusoh berkata salah satu akhlak yang paling menonjol dalam diri Rasulullah SAW ialah amanah dan kesungguhan dalam setiap urusan.

“Amanah bukan sekadar memegang jawatan atau melaksanakan tugasan rasmi.

“Amanah merangkumi seluruh aspek kehidupan sebagai pentadbir yang adil, pensyarah yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu dengan jujur, pekerja yang menunaikan tugas dengan ikhlas, dan mahasiswa yang berusaha menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata Rasulullah SAW tidak pernah mengambil mudah terhadap pekerjaan dan Baginda melaksanakan setiap tanggungjawab dengan ketekunan, kesungguhan dan keikhlasan, semata-mata kerana Allah SWT.

“Prinsip inilah yang perlu kita hidupkan semula dalam budaya kerja di universiti bekerja bukan sekadar untuk memenuhi masa, tetapi untuk memberi manfaat dan menambah nilai kepada masyarakat,” ujarnya.

Sepanjang meraikan hari kelahiran Rasulullah, pelbagai program telah diatur oleh Pusat Islam UKM seperti Perarakan Maulidur Rasul, Pertandingan Poster Infografik, Pertandingan Tik Tok Maulidur Rasul, Pertandingan Hafazan, Pertandingan Tilawah Al-Quran, Pertandingan Khat, Pertandingan Nasyid, Kuliah Zuhur Cintakan Rasul, Tausiah Maulidur Rasul, Qasidah Maulidur Rasul, Ijtimak Ahli Sunnah wal Jamaah dan Sudut Maulidur Rasul di Pusat Tanggungjawab (PTj) dan kolej-kolej kediaman.

Leave a Reply