40 pelajar program Sains Pertuturan dan Terapi Cara Kerja UKM diraikan dalam Majlis Iftar

Berita dan gambar oleh Fakulti Sains Kesihatan

BANGI, 17 April 2023 – Seramai 40 orang pelajar dari Program Sains Pertuturan dan Terapi Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diraikan dalam satu majlis iftar di Evo Mall, Bangi, baru-baru ini.

Majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh syarikat Excel Qhalif Sdn Bhd, yang merupakan sebuah Pusat Terapi Intervensi untuk Kanak-kanak Berkeperluan Khas itu diadakan bagi  mengeratkan silaturahim, bukan sahaja dalam kalangan  kakitangan berlainan cawangan, tetapi juga mengeratkan hubungan kerjasama yang telah dijalinkan di antara Excel Qhalif Sdn Bhd dan Fakulti Sains Kesihatan UKM.

Majlis itu juga diadakan sebagai menzahirkan rasa terima kasih kepada pelajar-pelajar UKM  yang telah bersama-sama menjayakan program tanggungjawab korporat syarikat tersebut iaitu CSR Messy Play yang telah diadakan pada 11 Mac 2023 yang lalu. 

Selain dari pelajar UKM, Penolong Dekan Hal Ehwal Siswa Fakulti Sains Kesihatan, Dr Mohd Sham Othman dan Pengurus Operasi merangkap Senior Occupational Therapist Excel Qhalif turut sama-sama menyertai majlis tersebut bersama 80 orang kakitangan dari lima cawangan Excel Qhalif.

Pihak syarikat juga berbesar hari memberi sumbangan duit raya kepada semua pelajar UKM yang hadir dan pelajar yang sedang menjalani latihan industri di Excel Qhalif.

Aktiviti lain yang diadakan adalah pengumuman pemberian bonus dan duit raya kepada kakitangan  Excel Qhalif, acara kuiz, solat maghrib, isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah.

Semoga majlis seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan kerjasama jalinan silaturahim di antara syarikat Excel Qhalif dan Fakulti Sains Kesihatan UKM akan mendatangkan impak yang positif kepada kedua-dua belah pihak.

Leave a Reply