41 Barisan Kepimpinan KMUKM Sesi 2023/2024 Lafaz Ikrar

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 22 Januari 2023 – Seramai 41 mahasiswa yang telah memenangi kerusi di Pilihan Raya Kampus baru-baru ini melafaz ikrar sebagai Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) sesi 2023/2024 yang di ketuai oleh Presiden KMUKM yang baharu, Muhammad Iman Azhar, di Persada Canselori.

Ikrar tersebut dilafazkan di hadapan Naib Canselor, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil dan pihak pengurusan UKM yang lain.

Naib Canselor dalam ucapannya mengingatkan kepada barisan pemimpin KMUKM agar menggunakan peluang yang ada sebagai perwakilan pelajar untuk cuba menyelesaikan isu-isu pelajar di kampus ini.

“Tunjuk kepada pelajar-pelajar lain bahawa mereka sebenarnya bukan salah pilih kita, tetapi kita adalah orang yang tepat yang dipilih oleh mereka untuk membawa suara mahaisswa dalam apa sahaja aktiviti di bawah portfolio masing-masing, dan menyelesaikan apa sahaja masalah pelajar termasuklah kebajikan pelajar.

“Percayalah anakanda-anakanda sekalian, walaupun kecil sumbangan kita, tapi bila kita dapat selesaikan masalah itu, ia menajdi satu kepuasan kepada kita, dan insyaAllah para pelajar akan mengingati MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) yang membantu mereka semasa mereka belajar di sini,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Watikah Kesatuan Mahasiswa UKM, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden KMUKM, Muhammad Iman berkata barisan kepimpinan KMUKM telah bersedia menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi gerak kerja berpasukan dengan prinsip “collaboration”, “coordination” dan “cooperation” dalam memastikan semua agenda dan aspirasi universiti dapat dicapai.

“Tekad saya juga kuat dan kukuh dalam menggalas amanah dan taklifan sebagai Presiden KMUKM, untuk saya menekuni strategi dan kaedah terbaik bersama pasukan bagi menjadikan kecemerlangan Kesatuan Mahasiswa UKM sebagai suara kepada mahasiswa dan rakan rapat universiti dalam menjayakan segenap harapan dan iltizam Universiti Watan ini dalam pelbagai bentuk penzahiran pelan mahupun tindakan.

“Semoga dengan perlantikan ini, kami akan membantu universiti dalam memastikan kelangsungan jati diri kebangsaan dalam konteks globalisasi mahasiswa, berprakarsa untuk menjadi universiti bertaraf dunia dalam acuan sendiri, beristiqamah dalam pembinaan modal insan untuk kesejahteraan masyarakat yang berdaya saing dan memapar konsep universiti sebagai lambang kesarjanaan dan wibawa ilmiah negara akhirnya melahirkan mahasiswa yang akan menjadi pewaris kepimpinan negara yang berkemahiran tinggi,” katanya.

Leave a Reply