4,286 Pelajar Baharu Terpilih Lanjut Pengajian ke UKM

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 30 September 2023 –Seramai 4,286 pelajar baharu terpilih melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi akademik 2023/2024 untuk semua program pengajian.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM menerima sebanyak 49,484 permohonan pada tahun ini.

“Daripada jumlah itu, hanya 4,286 sahaja yang layak dan dipilih menjadi sebahagian daripada warga Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Sesi pendaftaran pagi melibatkan pelajar dari negeri Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sementara itu, pelajar dari Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mendaftar pada sesi petang di kolej masing-masing,” katanya semasa Sidang Media Pendaftaran Pelajar Baharu, di sini, hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 1,865 adalah pelajar daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) dan empat pelajar adalah orang kurang upaya (OKU) yang merangkumi cacat penglihatan dan cacat fizikal. Kemasukan baharu ini turut menerima empat orang pelajar Orang Asli dan lima pasangan kembar, jelasnya.

“Kita santuni setiap keadaan pelajar dengan menyediakan kemudahan penginapan dan bantuan kebajikan yang bersesuaian bagi memberi keselesaan kepada mereka.

“Pelajar baharu akan menjalani program suai kenal iaitu Minggu Apresiasi Watan (MAW) bermula hari ini sehingga Rabu, 4 Oktober selama lima hari.

“Dengan tema ‘Mara Watan’, MAW akan memberi pendedahan dan pengisian yang padat kepada pelajar baharu seperti, amanat Naib Canselor, sesi bersama alumni, pengenalan kepada aktiviti kampus, dan interaksi dengan fakulti, kolej serta Pusat Tanggungjawab universiti,” katanya.

Tambahnya baru-baru ini, 27 orang pelajar baharu UKM dari keluarga berpendapatan RM1,000 ke bawah menerima bantuan daripada universiti menerusi Program Jejak Anak Watan.

Menurut Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan, bantuan ini disampaikan secara terus melalui lawatan ke rumah-rumah bakal pelajar meliputi Zon Tengah, Utara, Selatan dan Pantai Timur.

“Sumbangan tersebut merangkumi bantuan kewangan sebanyak RM1,000 secara tunai dan Bakul Rahmah ÿang berisi barang kelengkapan asrama bernilai RM200 kepada pelajar yang mendaftar pada hari ini.

“Program ini merupakan inisiatif pihak universiti bagi menyantuni pelajar yang tidak berkemampuan dengan memberikan suntikan kewangan untuk meringankan beban ekonomi terhadap keluarga pelajar.

“Sumbangan ini diharapkan dapat memberi dorongan kepada pelajar agar mereka dapat memulakan pelajaran di universiti dengan bersemangat tanpa perlu risau tentang kekangan kewangan,” katanya.

Tambahnya, terdapat pelbagai bantuan lain dari pihak universiti untuk membantu pelajar yang memerlukan seperti zakat UKM dan bantuan yuran pendaftaran.

Leave a Reply