75 Peratus Remaja Malaysia Tonton Video dan Gambar Lucah

Oleh Fakulti Perubatan UKM

CHERAS, 12 Julai 2023 – Penglibatan remaja Malaysia terutamanya remaja lelaki dengan aktiviti pornografi di internet semakin membimbangkan dan mengundang kepada kegiatan tidak bermoral dalam kalangan remaja.

Menurut kajian yang dijalankan oleh pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Noor Azimah Muhammad mendapati 75 peratus remaja Malaysia pernah menonton video atau melihat gambar pornografi.

Dr. Noor Azimah berkata kajian yang dijalankan pada tahun 2021 itu menunjukkan bahawa kebanyakan yang terlibat adalah remaja lelaki dan mereka telah terjebak ketika seawal menuntut di sekolah menengah serta kerap menggunakan internet di rumah secara bersendirian.

Perbuatan menonton pornogarafi ini menyebabkan sebahagian dari remaja kita mengalami ketagihan yang boleh menyebabkan mereka berisiko melakukan seks bebas dan mengalami jangkitan penyakit kelamin seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan siflis, jelasnya.

Beliau menegaskan, perkara ini berlaku kerana tiada pemantauan dari ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja dan tiada di rumah.

“Terdapat kes seorang pelajar lelaki mengakui menonton lebih 200 video pornografi sehari semata-mata untuk memuaskan keinginan seksualnya.

“Seterusnya pelajar ini terdedah kepada masturbasi (masturbation) dan akhirnya mengamalkan aktiviti seks bebas semasa menuntut di kolej,” katanya.

Menurutnya, penglibatan remaja Malaysia dalam seks bebas adalah amat membimbangkan.

“Dalam satu kajian lain yang dijalankan pada 2013 terhadap 988 pelajar kolej, data telah menunjukkan 10 peratus pelajar kolej pernah melakukan aktiviti seksual manakala lima peratus pula sangat aktif melakukannya.

“Umumnya, aktiviti seksual yang dilakukan oleh remaja adalah berisiko tinggi, di mana mereka cenderung untuk bertukar-tukar pasangan, mengamalkan homoseksual iaitu seks sesama jantina atau biseksual iaitu seks sesama sendiri atau berlainan jantina, tidak menggunakan kondom atau pencegah kehamilan dan di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” tambahnya.

Dapatan yang hampir sama dapat dilihat dalam Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2017 iaitu 7.3 peratus remaja berumur 13 hingga 17 tahun pernah melakukan seks seawal usia kurang dari 14 tahun dan lima peratus aktif melakukan seks.

Hampir kesemua remaja ini mengamalkan seks tidak selamat, tanpa kondom atau pencegah kehamilan dan 40 peratus dari kes HIV baharu adalah melibatkan remaja.

Dr. Noor Azimah berkata, ketagihan seksual bermula sejurus aktiviti seksual berlaku.

“Setelah berasa seronok melakukan aktiviti seksual, mereka ingin melakukannya sekali lagi. Keinginan ini akan berterusan dan berulang-ulang,” katanya.

Menurutnya, di zaman dunia tanpa sempadan, penggunaan internet dan media sosial memudahkan lagi remaja untuk mendapatkan video atau gambar pornografi tanpa dapat dikesan oleh ibu bapa.

“Perbuatan ini disokong dengan adanya kemudahan wifi samada di rumah sendiri atau sesetengah premis dimana remaja tidak perlu mengeluarkan duit sendiri.

“Hubungan antara media sosial, pornografi dan aktiviti seksual adalah bersifat linear. Jiwa remaja yang sentiasa ingin mencuba menyebabkan mereka memilih untuk melakukan amalan terlarang tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meletakkan tanggungjawab di bahu ibu bapa bagi mengekang aktiviti seksual dalam kalangan remaja.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam melindungi remaja dari terlibat didalam aktiviti seksual berisiko sebelum berkahwin.

“Perkara pertama yang ibu bapa perlu lakukan adalah memmberikan pendidikan seksual kepada anak mereka di rumah. Antara topik yang perlu dijelaskan kepada anak-anak adalah apakah itu seks, seks berisiko, komplikasi seks bebas, jangkitan penyakit kelamin dan kehamilan tanpa di rancang.

“Perasaan malu yang wujud dalam diri ibu bapa dan anak-anak menjadi faktor utama yang menyebabkan komunikasi mengenai seksual remaja dalam sebuah institusi kekeluargaan gagal,” katanya.

Beliau berkata, istilah seks seringkali dianggap tabu dan lucah sehingga menyebabkan ibu bapa menghadapi kesukaran menggunakan istilah tersebut apabila berbicara mengenainya.

“Sebagai ganti, ibu bapa akan menggunakan istilah hubungan kelamin. Namun begitu, remaja mungkin keliru definisi kedua-dua istilah ini.

“Selain itu, jurang generasi juga memainkan peranan apabila generasi dizaman kemajuan teknologi maklumat kini dilihat lebih terdedah kepada aktiviti seksual berbanding generasi lama,” katanya.

MenurutDr. Noor Azimah, peranan ini perlu dipikul oleh ibu bapa dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Ibu bapa perlu mencari informasi berkenaan dengan pendidikan seksual remaja atau tambah ilmu melalui pembacaan dan majlis-majlis ilmu.

“Maklumat yang diperolehi ini dapat membantu guru-guru di sekolah. Tiada orang lain yang boleh melakukannya melainkan ibu bapa itu sendiri.”

Leave a Reply