Oleh Khaviyaasree A/P Sreedharan
KUALA LUMPUR, 26 MEI 2025 – Kelab Kebudayaan India, Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menganjurkan program kebudayaan dan kebajikan tahunan, Rang De Ranggoli Sesi 2024/2025, yang diadakan di kolej itu, baru-baru ini.
Program itu bertujuan memberi peluang kepada mahasiswa KTSN menghayati keunikan budaya India serta menanam nilai kemanusiaan melalui aktiviti kebajikan.
Sepanjang tempoh persediaan, sebanyak RM3,000 telah berjaya dikumpul dan disalurkan kepada 20 keluarga yang memerlukan melalui kerjasama Pertubuhan Kebajikan Suriana.
Rang De Ranggoli 24/25 yang bertemakan ‘Haruman Tanah, Keindahan Warisan’, telah dizahirkan melalui setiap persembahan tarian yang dipentaskan. Setiap persembahan diilhamkan daripada perayaan utama masyarakat India seperti Deepavali, Ponggal, Onam dan Navratri, sekali gus menyerlahkan keindahan budaya serta kekayaan tradisi yang diwarisi turun-temurun.
Program itu menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan oleh pelajar-pelajar kolej yang memperkenalkan perayaan utama masyarakat India. Tarian tradisional yang dipersembahkan bukan sahaja mencerminkan keunikan budaya tetapi turut menyampaikan kisah dan nilai turun-temurun yang diwarisi oleh masyarakat India.
Antaranya ialah tarian Garba sempena perayaan Navratri, Thiruvathiraikali sempena perayaan Onam, Oyilattam mewakili Ponggal, dan Bharatanatyam yang melambangkan sambutan Deepavali. Tema tahun ini mengajak penonton untuk menyelami keindahan nilai tradisi dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum.
Pelaksanaan program Rang De Ranggoli jelas mencerminkan semangat “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dalam kalangan mahasiswa, di mana elemen kebudayaan dan kebajikan bergabung dalam satu platform yang menyeluruh.
Seperti pepatah “sambil menyelam minum air”, program ini bukan sahaja memperkukuh apresiasi budaya, tetapi turut membina kesedaran sosial dan semangat saling membantu dalam kalangan generasi muda.
Kejayaan program ini menunjukkan komitmen mahasiswa KTSN dalam mengangkat budaya dan nilai murni ke persada yang lebih tinggi, serta memperkukuh peranan universiti sebagai pemacu perpaduan dan kemasyarakatan.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Inklusif), Pusat Hal Ehwal Pelajar, Dr. Nurwina Akmal Anuar. Hadir sama Pengetua KTSN, Prof. Madya Dr. Mohd. Razif Shahril.

