Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 7 Julai 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) komited menyokong pengkomersialan penyelidikan universiti bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada teknologi dan produk yang memberi manfaat kepada industri serta masyarakat.
Terbaharu, enam hasil penyelidikan warga universiti telah dilesenkan kepada rakan industri melalui perjanjian pelesenan bernilai keseluruhan RM130,000.
Enam hasil penyelidikan tersebut ialah KEJORA Refreshing Anti-Aging Eye Cream (KEJORA), Magic Box Tiny Fingers, SIFIRA, Konsep Rekaan Corak RATUKU, Praktis Korea dan Aplikasi Media Patuh Syariah (Islamic Creative Media Apps).
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata kepelbagaian inovasi yang diketengahkan pada majlis ini menunjukkan hasil penyelidikan UKM merangkumi pelbagai disiplin, termasuk bidang kesihatan, pendidikan dan warisan budaya.
“Pengkomersialan teknologi merentas pelbagai disiplin ini diharap dapat menguatkan kerjasama antara universiti dan industri, meningkatkan daya saing ekonomi berasaskan pengetahuan serta menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKM™), Prof. Dr. Sawal Hamid Md Ali berkata UKM berusaha memastikan setiap inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik tidak terhenti di peringkat makmal semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada produk yang boleh dikomersialkan.
Menurutnya, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi menggalakkan penyelidik memindahkan hasil inovasi mereka ke pasaran.
“INOVASI@UKM menyediakan dana pemindahan teknologi bagi membantu penyelidik membawa inovasi dari peringkat awal ke tahap yang bersedia untuk dipasarkan.
“Dana ini menyokong pembangunan teknologi daripada Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 4 kepada TRL 7 dan memerlukan kerjasama dengan syarikat kolaborator bagi memastikan proses pembangunan memenuhi keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata, proses membawa sesuatu hasil penyelidikan ke pasaran bukanlah mudah kerana sering wujud jurang antara hasil penyelidikan dengan keperluan pasaran.
“Dalam sesetengah situasi, penyelidikan yang dihasilkan tidak menepati kehendak industri menyebabkan ia hanya berakhir sebagai penerbitan akademik tanpa berjaya dikomersialkan.
“Apabila hampir sampai ke peringkat pengkomersialan, ada syarikat yang tidak berminat kerana melihat produk tersebut tidak mempunyai potensi pasaran atau kos pembangunan yang terlalu tinggi.
“Justeru, penglibatan yang lebih serius dan berterusan antara pihak industri dengan akademik amat penting bagi merapatkan jurang ini,” katanya.
Majlis turut menyaksikan pelancaran dua produk inovasi, iaitu KEJORA dan Magic Box Tiny Fingers, masing-masing telah dilesenkan kepada Bumi Lensa Resources dan Tateh Sakinah Ventures Sdn. Bhd.
Prof Dr Sawal berkata, KEJORA merupakan produk kosmeseutikal inovatif berasaskan campuran minyak Sacha Inchi dan minyak kelapa dara yang berfungsi melindungi kulit di sekeliling mata daripada sinaran UVB dan cahaya biru.
Manakala, Magic Box Tiny Fingers pula merupakan inovasi pendidikan awal kanak-kanak yang dibangunkan berasaskan psikologi perkembangan dan kognitif bagi menangani ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak, jelasnya.

