Oleh Norzatul ‘Ezzah Hasan
KUALA KEDAH, 4 Julai 2025 – Program Celik Kelestarian Alam Sekitar yang dianjurkan oleh Kursi Kelestarian UKM-YSD, baru-baru ini telah memberi transformasi gaya hidup komuniti melalui pendedahan ilmu dan amalan lestari.
Program yang berjaya menghimpunkan lebih 120 individu daripada komuniti setempat, agensi kerajaan, dan institusi pengajian tinggi diadakan bagi memperkukuh tindakan akar umbi dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan memelihara alam sekitar.
Program ini merupakan kesinambungan kepada Program Intervensi Pemerkasaan Kelestarian Komuniti Terhadap Perubahan Iklim dan Alam Sekitar dengan pengisian utama termasuk ceramah kesedaran cekap tenaga oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) serta aktiviti stesen interaktif.
Aktiviti ini bertemakan Jimat Air Lebih Baik iaitu pengisian pendidikan tentang jejak air dan penjimatan air harian, Dari Sisa ke Nilai (kitar semula kreatif untuk mengurangkan sisa plastik), Akar untuk Masa Depan (peranan perubahan iklim terhadap sekuriti makanan) dan Kesedaran Pesisir Pantai (isu hakisan dan kelestarian ekosistem pesisiran).
Kehadiran peserta di Masjid Ar-Ma’rufi, Seberang Kota mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap tanggungjawab individu dalam menjaga alam sekitar. Program ini bukan sekadar platform pendidikan, tetapi juga pencetus perubahan sikap ke arah kehidupan yang lebih lestari, bertanggungjawab, dan peka terhadap alam.
Melalui program ini, ia dapat memberi manfaat kepada komuniti B40 khususnya daripada golongan nelayan, pesawah, penternak dan peladang.
Kejayaan Program Celik Kelestarian Alam Sekitar didukung oleh kerjasama erat pelbagai pihak, termasuk SEDA, Pusat Pengurusan Alam Sekitar (EMC) Institut Perubahan Iklim, Penghulu Mukim Kuala Kedah, Majlis Pembangunan Komuniti Kampung Seberang Kota (MPKK), Jawatankuasa Masjid Ar-Ma’rufi, penyelidik UKM yang diketuai oleh Prof. Dr. Kamisah Osman dan UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau, serta Pusat Strategi UKM.
Komuniti ini diperkasakan ilmu untuk menjaga kelestarian alam dan berdaya tahan, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam pendidikan berkualiti (SDG 4), tenaga yang berpatutan serta bersih (SDG 7), komuniti dan bandar lestari (SDG 11), serta tindakan iklim (SDG 13), kehidupan di darat (SDG 15) dan juga perkongsian untuk matlamat (SDG 17).

