Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2025 – Yayasan Jeffrey Cheah (JCF) menyumbang sebanyak RM5 juta kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menubuhkan Kursi Kecemerlangan Tan Sri Sir Jeffrey Cheah di Fakulti Perubatan, UKM melalui pemeteraian satu memorandum perjanjian (MoA).
Sumbangan tersebut bakal menggalakkan penghasilan hasil penyelidikan bersama dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan, penubuhan pusat inkubasi serta penyediaan kemudahan instrumen berteknologi tinggi.
Selain itu, kerjasama ini juga akan menyokong inisiatif pembangunan pelajar dan staf seperti program mobiliti pelajar, pertukaran staf, peluang pembelajaran dan penawaran biasiswa.
Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah berkata: “Ini adalah satu kerjasama yang amat bermakna bagi Universiti Sunway dan Yayasan Jeffrey Cheah. UKM merupakan universiti awam pertama di Malaysia yang menerima penganugerahan Kursi Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah.
“Saya berharap agar langkah ini akan meletakkan UKM sebagai rakan strategik dalam kalangan rangkaian kerjasama aktif yang telah kita jalinkan dengan universiti-universiti terkemuka dunia.
“Semakin banyak institusi pendidikan yang dapat kita libatkan dalam ekosistem ini, semakin besar manfaatnya kepada negara serta para pelajar dan penyelidik Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Profesor Dr. Sufian Jusoh berkata inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh peranan UKM sebagai universiti kebangsaan berimpak global, malah turut melengkapkan pelajar dengan keupayaan untuk cemerlang dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperluaskan keserlahan dan keberkesanan aktiviti penyelidikan kami, malah ia turut meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, serta penglibatan universiti dengan komuniti yang memerlukan,” tambahnya.
Pada majlis tersebut, Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah turut menyampaikan syarahan khas mengenai pendidikan dan filantropi serta peranan kedua-duanya dalam membina sebuah negara yang lebih kukuh dan berdaya tahan.

