UKM Sumbang Sistem Pengering Suria Rumah Hijau kepada Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Langat

Oleh Ts Dr Idris Zulkifle
Foto oleh Sun Jie Meng

KUALA LANGAT, 17 September 2025 – Sekumpulan pelajar sarjana Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) mengadakan program tanggungjawab sosial bersama Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Langat dengan menyerahkan Sistem Pengering Suria Rumah Hijau yang direka khas untuk kegunaan ahli persatuan bagi proses pengeringan ikan masin.

Sistem itu bukan sahaja membantu menjimatkan masa dan tenaga, malah dapat meningkatkan kualiti produk berbanding dengan kaedah tradisional. Kaedah tradisional memerlukan ruang yang luas serta sering diganggu oleh haiwan.

Selain daripada itu, risiko ikan kering rosak juga dapat dikurangkan kerana pengeringan tidak terganggu walaupun ketika waktu hujan. Sistem ini juga menggunakan tenaga suria untuk menjana tenaga.

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor, Siti Hawa Delaila Tukiran.

Dalam ucapan, beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak UKM atas sumbangan tersebut dan berharap sistem berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli persatuan dan seterusnya membantu meningkatkan hasil pengeluaran serta taraf ekonomi nelayan Kuala Langat.

“Kami percaya dengan adanya sistem pengering suria ini, mutu ikan masin yang dihasilkan dapat ditingkatkan, lebih bersih, lebih tahan lama, sekali gus memberi nilai tambah kepada pendapatan nelayan,” katanya.

Sebelum majlis penyerahan Sistem Pengering Suria Rumah Hijau berlangsung, para peserta telah mengikuti Bengkel Pengenalan Tenaga Suria yang dikendalikan oleh pensyarah daripada Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI UKM).

Bengkel ini memberi pendedahan awal mengenai konsep, kelebihan, dan aplikasi tenaga suria dalam kehidupan harian, di samping memperkenalkan teknologi hijau sebagai alternatif yang lebih lestari untuk komuniti pesisir pantai.

Turut hadir ialah Pengarah SERI UKM, Prof. Dr. Norasikin Ahmad Ludin, yang dalam ucapan beliau menekankan kepentingan penguasaan teknologi tenaga boleh diperbaharui.

“Kami di SERI UKM berharap agar sistem pengering suria rumah hijau ini digunakan secara optimum bagi menghasilkan ikan masin yang lebih berkualiti, selaras dengan aspirasi UKM dalam memperkasa komuniti melalui inovasi tenaga lestari,” ujar beliau.

Penyelia pelajar sarjana GSB-UKM, Dr. Roslan Jaafar melihat penglibatan mahasiswa dalam komuniti sebagai satu bentuk latihan holistik untuk membina jati diri pemimpin masa hadapan.

Menurutnya, projek sebegini bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar untuk mempraktikkan ilmu, tetapi juga menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

Program tersebut menzahirkan komitmen universiti dalam mendekatkan ilmu, penyelidikan, dan teknologi dengan komuniti setempat khususnya golongan nelayan.

Selain itu, ia juga membuktikan bahawa kolaborasi antara universiti, agensi kerajaan, dan komuniti mampu menghasilkan impak yang besar, bukan sahaja dalam meningkatkan produktiviti, malah dalam memperkukuh hubungan antara warga akademia dengan masyarakat.

Ia juga seiring dengan visi UKM untuk kekal relevan sebagai universiti watan yang sentiasa membantu untuk kepentingan masyarakat.

Leave a Reply