Oleh Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman (Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM), Ts. Dr. Nurhidayah Bahar (Pengetua Kolej Akademia UKM)
Foto Kolej Akademia UKM
Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKEM) kembali lagi tahun ini dengan semangat baharu yang dinanti-nantikan oleh seluruh warga kampus. Kejohanan sukan tahunan yang menjadi tradisi UKM ini menjadi medan pertembungan hebat 13 buah kolej akademia yang akan berentap dalam 36 acara sukan, merangkumi kategori individu dan berpasukan. Bermula dari 24 Oktober hingga 12 November 2025, SUKEM 2025 anjuran Pusat Sukan UKM akan berlangsung dalam tiga fasa utama, dengan setiap kontinjen kini giat bersiap sedia membawa panji dan semangat juang kolej masing-masing ke gelanggang.
Menjayakan Aspirasi Sukan Mahasiswa Watan
SUKEM 2025 bukan sekadar gelanggang pertandingan, tetapi manifestasi aspirasi universiti dalam memperkukuh budaya sukan dalam kalangan mahasiswa sebagai sebahagian daripada pembangunan holistik modal insan. Melalui penglibatan aktif dalam pelbagai acara, pelajar bukan sahaja mengasah kemahiran fizikal, tetapi turut memupuk nilai disiplin, kepimpinan dan kerja berpasukan. Kejohanan ini juga menjadi wadah penting mencungkil serta membangunkan bakat atlet UKM agar dapat diserap ke dalam pasukan universiti, institusi pengajian tinggi, dan seterusnya ke peringkat kebangsaan.
Inilah cerminan jati diri mahasiswa yang sebenar bukan hanya cemerlang di bilik kuliah, tetapi turut menyerlah di arena sukan dan kepimpinan. Pada masa yang sama, SUKEM 2025 menyokong agenda universiti dalam memperkasa gaya hidup sihat serta kesejahteraan mental dan fizikal mahasiswa. Aktiviti sukan menjadi wadah untuk pelajar melepaskan tekanan, membina ketahanan diri dan mencapai keseimbangan emosi.Kejohanan ini turut memperkukuh perpaduan dan identiti universiti watan melalui semangat persaingan yang sihat antara kolej kediaman. Dalam semangat kesukanan yang jitu, para atlet belajar menghormati lawan, meraikan perbezaan, serta menjunjung maruah universiti sebagai satu keluarga besar warga UKM.
Persediaan Kolej Akademia Menjelang SUKEM 2025
Setiap kolej akademia giat melakukan persiapan rapi bagi memastikan kontinjen masing-masing berada pada prestasi terbaik. Pemilihan atlet dan latihan intensif dijalankan seawal awal semester lagi. Setiap petang, suasana di padang utama UKM menjadi meriah apabila para pelajar berlatih bersama, khususnya bagi acara bola jaring, sepak takraw, bola keranjang, bola tampar dan bola sepak.Kemeriahan ini jelas mencerminkan semangat watan yang kental bukan sekadar persediaan menghadapi kejohanan, tetapi juga lambang kesepaduan dan kebersamaan warga universiti.
Setiap kolej akademia diketuai oleh pengetua selaku ketua kontinjen yang memantau keseluruhan gerak kerja pasukan dan memastikan segala persiapan berjalan lancar. Di bawah kepimpinan tersebut, barisan felo dan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) memainkan peranan penting dalam pencarian atlet, pembentukan pasukan dan penyelarasan latihan. Mereka turut memastikan segala keperluan pasukan dipenuhi serta menjadi penghubung antara pihak pengurusan kolej dan kontinjen. Bersama jurulatih, mereka menyusun strategi dan membimbing atlet dari segi teknikal, fizikal dan mental agar setiap pasukan tampil dengan disiplin, semangat juang dan kekuatan kolektif yang mantap.
Menjulang Harapan, Menggapai Kejayaan
Seluruh warga kolej akademia menzahirkan harapan agar kejohanan kali ini menjadi medan untuk menonjolkan bakat, semangat dan keutuhan pasukan masing-masing. Bagi kontinjen yang bertanding, kemenangan bukanlah satu-satunya matlamat. Kejayaan sebenar terletak pada semangat juang, disiplin serta setiakawan dan persaudaraan yang terbina sepanjang proses latihan dan pertandingan. Setiap peluh yang mengalir tika di padang dan setiap sorakan penyokong di tepi gelanggang menjadi simbol kebanggaan kolej serta bukti semangat watan yang menyatukan seluruh warga universiti.
SUKEM 2025 diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet muda UKM yang berpotensi besar untuk diketengahkan ke peringkat universiti, kebangsaan malah antarabangsa. Pada masa yang sama, kejohanan ini diharapkan terus menjadi platform untuk memperkukuh budaya hidup sihat dan seimbang di kampus, di mana kecemerlangan akademik seiring dengan kekuatan fizikal dan mental. Dengan semangat kesukanan yang tinggi dan sokongan padu seluruh warga UKM, SUKEM 2025 diyakini akan menjadi satu lagi lembaran kejayaan dalam sejarah sukan universiti watan.


