Oleh Nur Izzati Ab Rahman
Foto Izwan Azman
BANGI, 5 November 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh agenda kesejahteraan pelajarnya menerusi pelancaran dua inisiatif baharu Ruang KATARSIS dan Sistem Halo Kaunselor UKM yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Dr. Noraini Ahmad, di Bangunan Pusanika, UKM hari ini.
Kedua-dua inisiatif di bawah Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) ini merupakan usaha holistik universiti dalam menyediakan kemudahan sokongan psikososial serta memperkasa pendigitalan perkhidmatan kaunseling di kampus. Melalui pendekatan ini, pelajar dapat mengakses perkhidmatan kaunseling dengan lebih mudah, cepat dan mesra pengguna.
Menurut Datuk Dr. Noraini, pelancaran ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan mental di institusi pendidikan tinggi serta memupuk daya tahan emosi dalam kalangan belia.
“Ruang KATARSIS ini bukan sekadar tempat kelegaan emosi, tetapi simbol kebajikan dan kepedulian UKM terhadap kesejahteraan mental pelajarnya. Manakala Sistem Halo Kaunselor pula memperkenalkan pendekatan digital yang membolehkan pelajar mendapatkan bantuan kaunseling dengan cepat dan mudah, di mana sahaja mereka berada,” katanya.
Beliau turut memuji usaha UKM yang proaktif memanfaatkan teknologi dalam mempertingkat kesejahteraan komuniti kampus serta mendepani isu kesihatan mental secara berstruktur dan berkesan.
Pada majlis sama, Datuk Dr. Noraini turut merasmikan Majlis Penutupan Fiesta Jom HEP-UKM, yang menampilkan lebih 80 reruai persatuan pelajar serta pelbagai aktiviti berimpak tinggi termasuk eksplorasi kenali HEP-UKM, pemeriksaan gigi percuma, ceramah kesejahteraan minda dan kuiz interaktif.
Sementara itu, Pengarah HEP-UKM, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, menjelaskan bahawa Ruang KATARSIS direka sebagai tempat refleksi dan relaksasi yang selamat, kondusif dan terapeutik untuk pelajar menenangkan minda selepas melalui tekanan akademik atau cabaran kehidupan kampus.
Menurut beliau, Sistem Halo Kaunselor UKM menjadi platform sehenti yang membolehkan pelajar membuat temu janji dengan kaunselor bertauliah daripada Unit Kaunseling HEP-UKM secara dalam talian.
“HEP-UKM sentiasa komited menyediakan sokongan menyeluruh kepada pelajar, bukan hanya dari aspek akademik, tetapi juga kesejahteraan mental, emosi dan sosial.
“Kami percaya keseimbangan ini menjadi asas kepada pembentukan mahasiswa holistik dan berdaya tahan,” katanya.
Majlis pelancaran turut dihadiri oleh barisan pengurusan universiti, warga HEP-UKM serta wakil mahasiswa yang bersama-sama memberikan sokongan dalam menjayakan Fiesta Jom HEP-UKM, program julung kali yang menggabungkan tiga inisiatif utama iaitu Karnival Katarsis bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan, Minggu Persatuan Pelajar dan Jerayawara HEP-UKM.

