Oleh Murniati Abu Karim
Foto KOMUNIKASI UKM
BANGI, 22 November 2025 – Minat Morvareed Mousavi terhadap sains sejak di babgku persekolahan lagi menjadi titik tolak kepada penglibatannya dalam pelbagai projek inovasi semasa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja di Majlis Konvokesyen ke-53 ini berkata inovasi baginya sangat menarik kerana mampu menawarkan penyelesaian kepada masalah harian yang dihadapi.
Dalam salah satu projek, Morvareed bersama pelajar Gwangju University, Korea Selatan membangunkan prototaip menggunakan algae bagi tujuan pengurangan pencemaran udara.
“Projek tersebut melibatkan pembangunan prototaip hiasan dinding yang mengandungi algae. Ia diberikan cahaya dan nutrien untuk membolehkan algae tumbuh serta menghasilkan oksigen,” katanya.
Menurut Morvareed, penglibatannya dalam inovasi bermula melalui projek Open-Ended Laboratory yang menghubungkannya dengan Dr. Ebrahim Mahmoudi, pensyarah yang aktif dalam pertandingan inovasi.
Sokongan dan bimbingan Dr. Ebrahim memberi peluang kepadanya untuk membina pasukan dan menyertai pelbagai pertandingan sehingga berjaya meraih Johan dan Pingat Emas di peringkat antarabangsa.
“Program ini membentuk saya dengan mengajar saya untuk mengaplikasikan pengetahuan kejuruteraan kepada aplikasi praktikal berbanding teori semata-mata.
“Saya berpeluang mempelajari pelbagai perisian, kemahiran praktikal di luar kursus, yang meluaskan ilmu dan kemahiran saya.
“Selain itu, saya mendapat kemahiran dan keyakinan untuk membuat pembentangan atau pitching di hadapan orang ramai dan menjual produk saya,” katanya.
Morvareed juga bersyukur bersyukur kerana telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja.
“Secara peribadi, saya datang ke UKM sebagai seorang pelajar yang sederhana, tidak terlalu menonjol dalam akademik atau kokurikulum tetapi dengan niat yang kuat untuk belajar dan memperbaiki diri.
“UKM membuka ruang untuk saya mencuba, gagal, belajar semula dan akhirnya berkembang.
“Melalui bimbingan, galakan dan sokongan kewangan daripada universiti, fakulti dan jabatan, saya berpeluang menyertai pelbagai program, pertandingan, persidangan dan pertukaran pelajar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti di Korea, China, Singapura dan sebagainya,” katanya.
Morvareed juga berterima kasih kepada pensyarah serta penyelia di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses yang sentiasa membimbing dengan sabar, dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina yang menyediakan pelbagai platform untuk beliau meneroka potensi diri.
