UKM Raikan Kohort Pertama Graduan Program Sarjana Perubahan Iklim

Oleh Dr. Maggie Chel Gee Ooi
Foto KOMUNIKASI UKM

BANGI, 24 November 2025 – Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan kohort pertama graduan daripada program perintis Sarjana Perubahan Iklim pada Majlis konvekesyen ke-53 UKM.

Program yang dilancarkan pada tahun Mac 2024 ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, direka untuk menghubungkan teori saintifik dengan aplikasi teknologi secara praktikal.

Ia berorientasikan kerja kursus dan sesuai untuk profesional dalam agensi kerajaan, sektor swasta dan firma perunding yang memerlukan pengetahuan segera dan boleh diguna pakai.

Pengarah IPI, Prof. Madya Dr. Zaini Sakawi berkata kejayaan para graduan ini menyumbang kepada usaha UKM dalam membangunkan modal insan yang mampu mengukur, menganalisis dan meramal impak perubahan iklim.

Program satu tahun ini dilaksanakan melalui pembelajaran teradun merangkumi kuliah fizikal, sesi dalam talian dan kerja lapangan, serta projek penyelidikan untuk penyelesaian masalah dunia sebenar.

“Kurikulumnya merangkumi aspek saintifik, teknologi, ekonomi dan dasar berkaitan perubahan iklim,” katanya.

Menurutnya, dengan keadaan perubahan iklim yang semakin ketara, keperluan kepada profesional bertauliah semakin meningkat.

“Program ini mengukuhkan komitmen UKM terhadap kelestarian dan kedudukannya sebagai universiti penyelidikan terkemuka,” jelasnya.

Leave a Reply