Oleh Zainal Asnawi Asyraf
Foto oleh Fakulti Pergigian
GOMBAK, 22 Januari 2026 – Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan program khidmat masyarakat bersama penduduk Kampung Sungai Tua, di sini bagi meningkatkan pengetahuan berkenaan kesihatan oral, yang memfokuskan kepada senaman mulut serta amalan penjagaan gigi yang berkesan.
Ketua Jaringan Industri dan Komuniti Fakulti Pergigian, Prof Madya Dr Haslina Rani berkata program tersebut melambangkan kesungguhan UKM sebagai sebuah universiti watan dalam memanfaatkan kepakaran dan kekuatan institusi untuk menyumbang secara langsung kepada masyarakat setempat.
Menurut beliau, advokasi kesihatan berkaitan penjagaan gigi yang disampaikan oleh pelajar pergigian diharap dapat menyemai kesedaran berterusan dalam kalangan komuniti tentang kepentingan penjagaan kesihatan mulut pada masa hadapan.
“Selain itu, program gotong-royong yang turut diadakan mendapat kerjasama pelbagai pihak, menjadikan program ini satu manifestasi kukuh bahawa sinergi antara UKM dan rakan strategik mampu memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, pelajar mobiliti Universitas Muhammadiyah Semarang (UNIMUS), Indonesia, Ulia Dewi Ulma, menyifatkan penyertaan dalam program tersebut sebagai peluang keemasan buat beliau dan rakan-rakan untuk menyumbang bakti selain berinteraksi secara langsung dengan penduduk setempat.
Selain dari pendidikan kesihatan mulut, antara aktiviti lain yang turut diadakan adalah khidmat masyarakat yang turut disertai oleh 12 orang pelajar antarabangsa dari UNIMUS, Indonesia, yang sebelum ini mengikuti program mobiliti di Fakulti Pergigian UKM.
Program yang diadakan itu mendapat kerjasama daripada Persatuan Warga Emas Kampung Sungai Tua, Majlis Perbandaran Selayang, Sekolah Kebangsaan Sungai Tua Baharu, pemimpin Mukim Batu, Masjid Jamiatus Solahiah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gombak.
Aktiviti gotong-royong turut diadakan merangkumi pembersihan kawasan masjid, dewan utama serta persekitaran sekeliling, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dan keprihatinan sosial dalam kalangan warga universiti dan komuniti setempat.

