Oleh Iqbal Mohd Noor
Foto Izwan Azman
KUALA KLAWANG, 20 Januari 2026 – Program Kemasyarakatan Kesihatan anjuran Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (PERMANIS) dengan kerjasama Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilaksanakan di Kuala Klawang, baru-baru ini telah memperkukuh peranan universiti dalam menyantuni masyarakat setempat.
Program yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Negeri Sembilan telah melibatkan seramai 20 orang mahasiswa dan 35 orang staf Fakulti Perubatan.
Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman, Dato’ Haji Maarof Haji Mat Rasyad, Undang Luak Jelebu ke-16 yang merasmikan program itu berkata kehadiran warga UKM secara langsung ke kawasan komuniti merupakan pendekatan berkesan dalam menyebarkan ilmu perubatan dan kesedaran kesihatan kepada masyarakat.
“Inisiatif turun padang ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran kesihatan, malah memberi manfaat jangka panjang melalui perkongsian ilmu dan kepakaran universiti,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali berkata program berkenaan mencerminkan peranan UKM sebagai institusi yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat.
“Program ini memberi peluang kepada mahasiswa membina jati diri, kepimpinan dan empati melalui pengalaman sebenar bersama komuniti.
“Ia selari dengan aspirasi UKM dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya saing,” jelas beliau.
Menurut Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki, program kemasyarakatan itu menjadi platform penting untuk menterjemahkan ilmu perubatan kepada manfaat sebenar masyarakat.
“Pendekatan turun padang membolehkan mesej kesihatan disampaikan secara lebih dekat dan berkesan, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan dan amalan gaya hidup sihat,” katanya.
Program yang bertemakan “Melahirkan Pemimpin Berkarisma” ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah mahasiswa. Sepanjang program berlangsung, para peserta ditempatkan bersama keluarga angkat penduduk Kuala Klawang bagi memberi pengalaman kehidupan komuniti sebenar serta mengeratkan hubungan silaturahim.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong bersama penduduk kampung, lawatan ke perkampungan Orang Asli Ulu Kemin, aktiviti riadah komuniti, senamrobik, solat berjemaah, bacaan Yasin serta sesi interaktif kesedaran kesihatan bersama Fakulti Perubatan.
Penglibatan aktif mahasiswa dalam merancang dan melaksanakan aktiviti komuniti turut membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah, kerja berpasukan serta kepimpinan berintegriti.
Program ini berjaya memperkukuh hubungan kepimpinan PERMANIS serta menjadi platform mengenal pasti bakat kepimpinan baharu bagi memastikan kesinambungan kepimpinan persatuan pada masa hadapan.

