Oleh Auji Abdul Azhar
KUALA LUMPUR, 12 Mei 2026 – Seorang pelajar Sarjana Sains Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat satu lagi pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai duta bagi program berprestij The International Society to Advance Alzheimer’s Research and Treatment (ISTAART) di bawah The Alzheimer’s Association bagi sesi 2026/2027.
Pemilihan Zairin Zulaikha Harun mencerminkan pengiktirafan terhadap potensi penyelidik muda Malaysia dalam bidang neurosains, khususnya penyakit Alzheimer dan demensia.
Menurut Zairin Zulaikha, pelantikan itu membuka ruang untuk beliau membawa perspektif penyelidikan dari Malaysia ke peringkat antarabangsa, di samping memperkukuh jaringan saintifik yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan penyelidikan tempatan.
“Sebagai duta bagi program ini, saya akan terlibat dalam pelbagai aktiviti profesional, kesukarelawanan dan advokasi, termasuk penyertaan dalam mesyuarat bulanan bersama pakar industri, editor jurnal dan pemimpin bidang Alzheimer.
“Selain itu, saya juga akan terlibat secara langsung sebagai sukarelawan bersama Alzheimer’s Association dalam menguruskan persidangan antarabangsa tahunan dalam sains demensia iaitu Alzheimer’s Association International Conference (AAIC) di London, United Kingdom pada Julai ini,” katanya.
Tambahnya, diperingkat tempatan, beliau turut bertanggungjawab mempromosikan aktiviti dan manfaat ISTAART melalui pembentangan, penglibatan komuniti, serta penggunaan platform digital bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyelidikan Alzheimer.
Selain itu, beliau turut mendapat akses kepada persidangan antarabangsa dengan sokongan perjalanan penuh daripada Alzheimer’s Association, latihan pembangunan profesional, bimbingan daripada pakar global, serta peluang membina rangkaian kolaborasi penyelidikan rentas negara. Program ini turut membuka peluang pembangunan kerjaya yang signifikan dalam bidang neurosains.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Yogeswaran Lokanathan yang merupakan penyelia Zairin Zulaikha menyifatkan kejayaan anak didiknya sebagai bukti keupayaan pelajar UKM untuk bersaing di peringkat global serta mencerminkan kekuatan ekosistem penyelidikan di UKM, khususnya dalam bidang translasi dan penyakit neurodegenerative.
“Pemilihan beliau mencerminkan pengiktirafan terhadap potensi penyelidik muda Malaysia dalam bidang neurosains, khususnya penyakit Alzheimer dan demensia.
“Penyertaan ini juga selari dengan usaha memperkukuh agenda kesihatan global dan kerjasama antarabangsa, sekali gus mempertingkat sumbangan Malaysia dalam bidang penyelidikan Alzheimer yang semakin kritikal di peringkat dunia,” katanya.
Selain Prof Madya Dr Yogeswaran, Zairin Zulaikha yang merupakan pelajar di bawah program Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif, turut diselia oleh tiga lagi pensyarah UKM iaitu Prof. Madya Dr. Ng Min Hwei, Prof. Madya Dr. Tan Jen Kit dan Dr. Farah Wahida Ibrahim serta seorang dari United Arab Emirates University iaitu Prof. Madya Dr. Kim Yun Jin.
Program duta tersebut berlangsung selama setahun (2026–2027) dan menghimpunkan 42 penyelidik awal kerjaya mewakili 35 negara dari seluruh dunia untuk terlibat secara aktif dalam komuniti penyelidikan global.
Sepanjang tempoh tersebut, para duta akan memainkan peranan sebagai penghubung antara komuniti saintifik antarabangsa dan institusi tempatan masing-masing.
