Oleh Siti Hajar Zuber dan Hilman Hanif Hardira
Foto oleh Faizah Maisarah Sudirman
CHERAS 3 Jun 2026 – Sekumpulan pelajar dari Program Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyantuni pesakit kanser kanak-kanak bersama ahli keluarga melalui program Hari Interaksi Pelajar Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi, baru-baru ini.
Program yang diadakan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) melalui kerjasama strategik bersama Ronald McDonald Charity House dan Lions Club Tropicana Elite diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar memahami pengalaman emosi pesakit kanser kanak-kanak dengan memupuk nilai empati, keprihatinan dan kasih sayang, serta meningkatkan kesedaran bahawa rawatan kanser memerlukan sokongan emosi selain rawatan klinikal.
Pengurus Ronald McDonald Charity House, Idayu Mufti berkata program itu memberi makna yang besar kepada pesakit dan ahli keluarga kerana ia bukan sahaja menceriakan kanak-kanak, malah memberi sokongan emosi kepada ibu bapa yang sedang melalui cabaran besar dalam kehidupan.
“Kehadiran para pelajar dengan pendekatan yang penuh empati dan kasih sayang berjaya mewujudkan suasana yang ceria serta memberi semangat positif kepada kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan,” katanya.
Beliau berkata melalui interaksi secara langsung bersama pesakit pediatrik, pelajar juga dapat memahami bahawa proses rawatan kanser bukan sekadar melibatkan prosedur klinikal dan penggunaan teknologi perubatan, tetapi turut memerlukan sokongan emosi, komunikasi yang baik serta layanan penuh empati daripada petugas kesihatan.
“Pengalaman ini memberi kesedaran kepada pelajar bahawa pesakit kanak-kanak sering berdepan tekanan emosi, keletihan fizikal dan perubahan rutin kehidupan yang memberi kesan besar kepada kesejahteraan mental mereka serta ahli keluarga,” ujarnya.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian santai dan bermakna telah dijalankan antaranya sesi senamrobik ringan, aktiviti seni menghias dan melukis bekas pensel, penulisan surat penghargaan kepada ibu dan bapa serta sesi interaksi mesra bersama keluarga pesakit.
Program yang dianjurkan bersempena projek bagi kursus Prosedur Radioterapi itu berjaya membuka mata dan memberi peluang kepada para pelajar untuk mendalami secara dekat pengalaman interaksi emosi bersama kanak-kanak kanser yang dekat di hati masyarakat.
Penglibatan secara langsung ini turut memupuk nilai empati, keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan bakal pengamal kesihatan.
Program ini juga selari dengan aspirasi Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 3: Good Health and Well-being dan SDG 17: Partnerships for the Goals melalui kerjasama antara institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti.

