Oleh Syahida Zainal Abidin
Foto Amirul Haqim Khairul Anwar
BANGI, 9 Jun 2026 – MINDA Policy Roundtable (MPR) yang menghimpunkan lebih 40 wakil daripada agensi kerajaan, kementerian, pertubuhan bukan kerajaan dan pemain industri menjadi platform perbincangan hala tuju pembangunan ekonomi angkasa negara.
Program ini merupakan anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan serta Pusat Pengajian Ekonomi, FEP UKM dengan kerjasama Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia.
Sesi meja bulat tersebut menampilkan tiga pembentang utama iaitu Profesor Adjung FEP, Datuk Dr. Ahmed Tasir Lope Pihie; Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia, Dato’ Gs. Haji Azlikamil Napiah; serta Pengarah Urusan Kumpulan UZMA merangkap Presiden Konsortium Industri Angkasa Malaysia, Dato’ Kamarul Redzuan Muhamed.
Bertemakan Strengthening Malaysia’s Space Economy: From Vision to Action”, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi angkasa sebagai sektor strategik yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, meningkatkan keupayaan teknologi tempatan serta memperkasakan aspek keselamatan dan kedaulatan negara.
Antara perkara yang diketengahkan ialah potensi penyelidikan dan pembangunan), pembuatan teknologi angkasa serta peluang untuk memperluaskan penglibatan Malaysia dalam rantaian nilai industri angkasa global.
Menurut Datuk Dr. Ahmed Tasir, keupayaan negara dalam bidang komposit termaju dan mikroelektronik aeroangkasa merupakan antara kekuatan yang boleh dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan sektor tersebut.
“Negara kecil seperti Malaysia tidak boleh bergerak bersendirian. Kita perlu menggabungkan kepakaran teknologi dan sumber kewangan melalui kerjasama strategik bagi meningkatkan penyertaan negara dalam ekonomi angkasa global”, katanya.
Sementara itu, Dato’ Gs. Haji Azlikamil pula menekankan kepentingan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan industri angkasa yang semakin berkembang.
Menurut beliau, selain melahirkan graduan universiti berkemahiran tinggi, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga perlu diberi perhatian bagi melengkapkan keseluruhan ekosistem industri tersebut.
“Kita sedang membincangkan bagaimana untuk memperkasakan calon TVET kita untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem ruang angkasa, sekurang-kurangnya bagi menyokong pembangunan modal insan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Perbincangan turut menyentuh peranan teknologi angkasa dalam aspek pertahanan, keselamatan dan aplikasi awam, selain cabaran berkaitan sumber dan kepakaran bagi menyokong pembangunan sektor ekonomi angkasa secara mampan.
Hasil perbincangan akan dirumuskan dalam bentuk syor dan cadangan untuk dikemukakan kepada kementerian serta agensi berkaitan sebagai input kepada perancangan dan penggubalan dasar sektor angkasa negara.
Melalui pendekatan yang inklusif dan berorientasikan tindakan, MPR diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan ekosistem ekonomi angkasa yang lebih kukuh, inovatif dan berdaya tahan, sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia dalam ekonomi angkasa global.
