Oleh Masrina Nadia Mohd Salleh
Foto Muhammad Irfan Muqrish Halim
BANGI, 11 JUN 2026 – Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong, Selangor.
Bertemanan “Kasih Disantuni, Jiwa Dihargai”, program ini melibatkan lebih 40 pelajar, pensyarah dan rakan strategik industri.
Ia merupakan kerjasama antara Kelab Pengurusan, Kelab Tunas AKPK, AKPK Financial Education and Well-Being Research Centre (FEWRC), Sekretariat HEJIM FEP UKM dan Kelab Kebajikan Sosial dan Kerohanian FEP.
Program ini diketuai oleh Dr. Masrina Nadia Mohd Salleh selaku Ketua Projek dan Penasihat Management Club, bersama Muhammad Wafiq Izzudin bin Atikullah sebagai Ketua Program Pelajar.
Menurut Dr. Masrina Nadia, program tersebut bukan sahaja bertujuan menyampaikan sumbangan, malah memberi pengalaman pembelajaran berasaskan komuniti kepada mahasiswa.
“Melalui program ini, pelajar dapat memahami dengan lebih dekat realiti kehidupan warga emas serta kepentingan nilai empati, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat.
“Program ini berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM2,530 dalam tempoh tujuh hari, selain sumbangan barangan keperluan asas seperti makanan kering, lampin dewasa, tisu basah, minyak masak, barangan kebersihan dan penjagaan diri,” katanya.
Selain aspek kebajikan, program ini turut mengetengahkan elemen pendidikan dan penyelidikan melalui perkongsian dapatan kajian AKPK FEWRC bertajuk “Elder Financial Abuse: Protecting and Empowering Our Seniors”.
Dr. Masrina berkata dapatan kajian tersebut menekankan bahawa penderaan kewangan dalam kalangan warga emas merupakan isu serius yang sering tidak dilaporkan, terutamanya melibatkan mereka yang tinggal bersendirian, mempunyai pendapatan terhad dan berdepan pengasingan sosial.
“Pendedahan ini memberi kefahaman kepada peserta tentang kepentingan melindungi warga emas daripada eksploitasi kewangan, selain menyedarkan mereka bahawa persediaan menghadapi hari tua bukan hanya melibatkan perancangan kewangan, tetapi juga sokongan keluarga, jaringan sosial dan perlindungan maruah diri.
“Penganjuran program ini mencerminkan komitmen FEP UKM dalam memperkukuh tanggungjawab sosial universiti, membina mahasiswa yang prihatin dan memperluas kerjasama strategik bersama industri serta komuniti,” katanya.

