Oleh Naga Darsshini A/P Manickavasakam
KUALA LUMPUR, 25 Jun 2026 – Seorang pelajar Sarjana dari Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif (DTREM), Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lim Fang telah menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA)2026 bagi menyokong pengajian dan penyelidikannya dalam bidang penyembuhan luka diabetik.
Beliau telah menerima anugerah ini daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Menurut Lim Fang, penganugerahan ini merupakan satu penghormatan yang amat bermakna dan menjadi pemangkin untuk beliau terus menghasilkan penyelidikan yang berkualiti tinggi serta memberi manfaat kepada masyarakat.
“Biasiswa ini memberikan peluang kepada saya untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyelidikan dan memperluaskan pengetahuan dalam bidang penyembuhan luka diabetik.
“Saya berharap kajian yang dijalankan dapat menyumbang kepada pembangunan strategi rawatan yang lebih berkesan bagi membantu pesakit diabetes yang mengalami komplikasi luka kronik,” katanya.
Penyelidikan beliau yang bertajuk ‘Kesan-kesan jujukan peptida berdasarkan hubungan struktur dan fungsi peptida terbitan LL-37 terhadap fungsi sel kulit manusia dalam keadaan hiperglisemia’memberi tumpuan kepada pemahaman kesan rantainan peptida terhadap fungsi sel fibroblas dermis manusia dalam persekitaran hiperglisemik.
Kajian ini bertujuan mengenal pasti ciri-ciri peptida yang berpotensi merangsang proses penyembuhan luka serta menyokong pembangunan terapi baharu untuk rawatan luka diabetik.
Sementara itu, penyelianya, Dr. Nur Izzah Md Fadilah berpendapat kejayaan tersebut sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan kesungguhan Lim Fang dalam bidang penyelidikan.
“Penganugerahan BYDPA merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana biasiswa ini diberikan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan akademik dan potensi penyelidikan yang tinggi.
“Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan keupayaan pelajar UKM untuk bersaing di peringkat tertinggi, malah mencerminkan kekuatan ekosistem penyelidikan Fakulti Perubatan UKM dalam melahirkan penyelidik muda yang berdaya saing,” katanya.

