UKM Cipta Sejarah, Lonjak Tangga Ke-7 Dunia dalam THE Impact Ratings 2026

BANGI, 24 Jun 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah apabila menduduki tangga ke-7 dunia dalam Times Higher Education (THE) Impact Ratings 2026, sekali gus menempatkan UKM dalam kelompok satu peratus universiti terbaik dunia berdasarkan impak terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pencapaian ini merupakan kedudukan tertinggi pernah dicapai UKM dan mencerminkan lonjakan prestasi yang amat membanggakan dalam tempoh tiga tahun.

UKM meningkat daripada kelompok 201–300 dunia pada 2024, kepada tangga ke-53 dunia pada 2025, sebelum melonjak ke kedudukan ke-7 dunia pada 2026.

Skor keseluruhan UKM turut meningkat secara konsisten daripada 80.2 peratus pada 2024, kepada 92.2 peratus pada 2025 dan 96.3 peratus pada 2026.

THE Impact Ratings menilai sumbangan institusi pengajian tinggi terhadap pelaksanaan 17 SDGs. Dalam edisi 2026, UKM mencatat pencapaian cemerlang apabila menduduki tempat ke-2 dunia bagi SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kuat (Peace, Justice and Strong Institutions), ke-4 dunia bagi SDG 1: Tiada Kemiskinan (No Poverty) dan SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan (Sustainable Cities and Communities), serta ke-10 dunia bagi SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat (Partnerships for the Goals).

UKM turut berada pada kedudukan ke-13 dunia bagi SDG 8, ke-15 bagi SDG 15, ke-16 bagi SDG 14, ke-18 bagi SDG 3 dan ke-19 bagi SDG 2.

Secara keseluruhan, UKM meningkatkan pencapaian dalam sembilan SDG, mengekalkan prestasi dalam tiga SDG, serta berjaya menempatkan sembilan SDG dalam kelompok 20 terbaik dunia.

Antara lonjakan paling ketara ialah SDG 16 yang meningkat daripada kedudukan ke-26 kepada ke-2 dunia, SDG 11 daripada ke-21 kepada ke-4 dunia, SDG 15 daripada ke-56 kepada ke-15 dunia dan SDG 8 daripada ke-36 kepada ke-13 dunia.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan holistik UKM dalam mengintegrasikan agenda kelestarian dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi, tadbir urus dan penglibatan masyarakat.

“Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan dalam penarafan dunia, tetapi bukti bahawa UKM berjaya menterjemahkan ilmu, penyelidikan dan inovasi kepada impak sebenar yang dirasai oleh masyarakat, negara dan komuniti global.

“Kejayaan ini adalah hasil komitmen serta usaha berterusan seluruh warga UKM dalam menjadikan ilmu sebagai pemangkin perubahan ke arah masa depan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata kejayaan ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, Dasar Kelestarian UKM dan komitmen universiti untuk mencapai sasaran Net Zero Carbon 2040.

“Momentum tersebut akan terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Pelan Strategik TEKAD57 UKM 2026–2030, khususnya dalam memperkasa kecemerlangan pendidikan, penyelidikan, inovasi, kelestarian dan tadbir urus,” ujarnya.

Tambah beliau, pencapaian tersebut mengukuhkan peranan UKM bukan sahaja sebagai universiti kebangsaan, malah sebagai institusi bertaraf dunia yang mampu memimpin agenda kelestarian global melalui falsafahnya “Iman, Ilmu dan Amal: Memimpin Kelestarian Global.”

Leave a Reply