Oleh Siti Aisyah Zakaria
BALI, (Indonesia), 29 Jun 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh kedudukannya di persada antarabangsa apabila menerima Conference Initiator Award sempena WUACD Summit 2026 in Conjunction with the 15th Korea–ASEAN Symposium yang berlangsung di Bali, Indonesia, baru-baru ini.
Pengiktirafan tersebut diberikan kepada UKM atas sumbangannya dalam World University Association for Community Development (WUACD), sebuah rangkaian antarabangsa yang menghimpunkan 44 universiti dari pelbagai negara bagi mempromosikan pembangunan komuniti mampan melalui perkongsian ilmu, inovasi dan kerjasama strategik.
Pengarah Pusat IDEA merangkap Penyelaras WUACD Peringkat UKM, Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal yang menerima anugerah tersebut berkata pengiktirafan tersebut mencerminkan kepercayaan rangkaian WUACD terhadap kepakaran UKM serta keupayaan universiti untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui kerjasama global.
“Melalui platform WUACD, UKM berpeluang menyumbang ilmu, pengalaman dan penyelesaian berasaskan penyelidikan dalam menangani cabaran masyarakat secara mampan melalui kerjasama yang melibatkan universiti-universiti dari pelbagai negara,” katanya.
Tambah beliau, penyertaan aktif UKM dalam WUACD bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa universiti, malah membuka peluang baharu dalam bidang penyelidikan, pembangunan kapasiti, mobiliti akademik dan pemindahan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Prof. Dr. Jamia Azdina berkata penglibatan UKM dalam WUACD juga sejajar dengan aspirasi universiti untuk memperluas impak penyelidikan ke peringkat global serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Mencapai Matlamat).
“Pengiktirafan ini memperkukuh kedudukan UKM sebagai rakan strategik dalam rangkaian WUACD dan mencerminkan komitmen universiti dalam menyumbang kepakaran akademik serta penyelidikan ke arah pembangunan komuniti yang mampan di peringkat serantau dan antarabangsa,” ujarnya.
Melalui penglibatan aktif dalam WUACD, UKM menyumbang kepakaran akademik dan penyelidikan bertaraf global dalam pelaksanaan program Waste-to-Wealth bersama Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia serta universiti-universiti ahli WUACD yang lain.
Penglibatan tersebut turut merangkumi perkongsian ilmu, pembangunan komuniti dan kerjasama rentas disiplin yang melibatkan Prof. Dr. Jamia Azdina, Prof. Madya Dr. Azlan Abas dan Prof. Dr. Zulkefly Abdul Karim.

