Oleh Mohammad Shafiq Rahmat
Foto Nur Adawiyah Jamaludin
KUALA LUMPUR, 8 Julai 2026 – Menyedari kepentingan kelestarian alam sekitar, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) mengambil inisiatif mengadakan Projek Eco Campus dan Program Eco Fiesta 2026, di fakulti itu bagi membudayakan amalan kelestarian dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus melalui gabungan elemen pendidikan, penyelidikan dan kesukarelawanan.
Dekannya, Prof. Dr. Suzana Shahar berkata pogram yang telah mula dilaksanakan sejak tiga tahun lalu menjadi platform penting dalam membentuk karakter mahasiswa sebagai ejen perubahan masyarakat.
“Mereka (warga kampus) akan menyebarkan kesedaran dan mendidik masyarakat sejak usia muda tentang kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Projek Eco Campus, Prof. Dr. Zahara Abdul Manaf berkata inisiatif itu berjaya mengekalkan hubungan erat antara pelajar dan kakitangan penyelidik daripada tiga fakulti iaitu FSK, Fakulti Farmasi dan Fakulti Pergigian.
“Melalui program ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan teoretikal, malah dapat mengaplikasikan gaya hidup lestari secara langsung dalam kehidupan seharian,” ujar beliau.
Kempen ini turut diperluaskan kepada komuniti setempat menerusi Projek Malaysian Research Officer Grant Scheme (MROGS) yang diterajui oleh Fakulti Pergigian.
Projek di bawah geran kelestarian UKM dan MROGS ini mendapat kerjasama strategik daripada Bahagian Pertanian Bandar Jabatan Pertanian Malaysia serta Jabatan Pembangunan Prasarana Zon Kuala Lumpur.
Sokongan turut diterima daripada pihak swasta dalam kampus, termasuk pengusaha Kafe Dolcezza yang mengamalkan kempen pengurangan plastik di premisnya.
Sementara itu, wakil sukarelawan EcoBuddies, Arifah Nur Salihah menyifatkan pengalamannya dalam projek ini amat berharga bagi mengasah kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan.
Bagi memastikan kelangsungan agenda hijau ini, pihak penganjur mengalu-alukan sumbangan dan penajaan berbentuk peralatan kebun mahupun dana kewangan daripada badan korporat, agensi kerajaan, dan orang perseorangan pada masa hadapan.
Untuk fasa tahun ini, seramai 150 mahasiswa FSK menggembleng tenaga dengan sokongan 20 pemudah cara terlatih. PMFSK turut menyelaraskan Jadual Penggiliran Berstruktur yang menyaksikan 15 hingga 20 pelajar prasiswazah bergilir-gilir menjalankan aktiviti kelestarian pada setiap hari Rabu.
Antara tarikan utama program termasuk Jualan Hasil Tani Eco-Campus yang menawarkan sayur-sayuran dan ulam-ulaman segar bebas kimia, selain aktiviti Pembelajaran Kelestarian.
Interaktif secara amali seperti semaian benih pokok, kitar semula sisa makanan, serta pertandingan mural dan video TikTok.

