Oleh Dr Mohd Arif Atarhim, Pensyarah Kejururawatan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Dalam dunia yang serba pantas hari ini, Generasi Z (Gen Z) dilihat sebagai generasi paling celik teknologi, paling terhubung secara digital dan paling terbuka kepada perubahan. Namun di sebalik segala kelebihan itu, tersembunyi satu realiti yang membimbangkan. Ramai dalam kalangan mereka sebenarnya sedang bergelut dengan kekosongan jiwa, kehilangan arah dan kelesuan emosi yang semakin parah.
Ironinya, dalam dunia yang penuh “connection”, ramai anak muda berasa semakin terasing daripada diri sendiri.
Berdasarkan tinjauan global oleh McKinsey Health Institute pada tahun 2024 melibatkan lebih 41,000 responden, Gen Z mencatatkan tahap kesihatan rohani paling rendah berbanding semua generasi lain. Lebih daripada satu pertiga melaporkan bahawa mereka berasa kosong dan tidak mempunyai makna dalam hidup. Mereka juga didapati paling sukar menemui tujuan dalam pekerjaan serta kurang memiliki sistem kepercayaan yang kukuh untuk menghadapi cabaran hidup.
Dapatan ini memberi amaran bahawa masyarakat kini bukan sahaja berdepan krisis kesihatan mental, tetapi juga krisis makna kehidupan.
Apabila membicarakan kesihatan rohani, ramai terus mengaitkannya dengan ritual agama semata-mata. Hakikatnya, kesihatan rohani jauh lebih luas. Ia merujuk kepada keupayaan seseorang menemukan makna hidup, memiliki tujuan yang jelas dan merasakan hubungan dengan sesuatu yang lebih besar daripada dirinya sendiri. Dalam konteks Islam, agama menjadi panduan penting yang membantu manusia memahami tujuan penciptaan serta hakikat kehidupan.
Makna hidup inilah yang menjadi perisai emosi paling kuat dalam menghadapi tekanan dunia moden.
Seseorang yang mempunyai tujuan hidup yang jelas lazimnya lebih stabil dari segi emosi. Apabila berdepan ujian, mereka lebih mampu menerima realiti, mengawal reaksi dan mencari jalan keluar secara matang. Sebaliknya, individu yang kehilangan makna hidup lebih mudah tenggelam dalam tekanan, keresahan dan keletihan emosi.
Fenomena ini menjelaskan mengapa burnout kini menjadi antara cabaran terbesar dalam kalangan anak muda. Ramai yang kelihatan sihat secara fizikal — cukup tidur, makan teratur, bekerja seperti biasa, tetapi hakikatnya jiwa mereka sedang keletihan.
Kesihatan rohani ‘imunisasi’ tekanan hidup
Kajian saintifik menunjukkan kesihatan rohani bertindak seperti ‘imunisasi’ terhadap tekanan hidup. Senjata utamanya ialah kawalan emosi. Individu dengan kesihatan rohani yang baik memiliki keupayaan regulasi emosi yang lebih tinggi. Mereka tidak mudah hanyut dalam kemarahan, putus asa atau kekecewaan.
Sebaliknya, mereka yang lemah asas rohaninya lebih mudah terperangkap dalam corak emosi yang merosakkan seperti menyalahkan diri sendiri, menafikan masalah, melarikan diri daripada realiti atau terlalu memikirkan perkara negatif secara berlebihan. Corak inilah yang akhirnya mempercepatkan burnout.
Tidak hairanlah ramai tenaga kerja muda cepat keletihan walaupun baru beberapa tahun menempuh alam pekerjaan. Mereka bukan sekadar penat bekerja, tetapi penat menanggung kekosongan dalaman.
Kesan kesihatan rohani amat membimbangkan
Kesan kesihatan rohani yang lemah juga amat membimbangkan. Kajian menunjukkan Gen Z dengan tahap kesihatan rohani yang rendah mempunyai peluang yang jauh lebih rendah untuk menikmati kesihatan mental yang baik, iaitu sehingga empat kali ganda berbanding rakan sebaya yang mempunyai kesihatan rohani sederhana atau baik. Mereka juga sekitar dua kali ganda kurang berpeluang memiliki kesihatan fizikal dan sosial yang memuaskan.
Ini membuktikan bahawa kesihatan manusia tidak lagi boleh dilihat hanya melalui dimensi fizikal, mental dan sosial. Sudah tiba masanya kesihatan rohani diiktiraf sebagai tunjang keempat kesejahteraan insan.
Bagi Gen Z, isu ini lebih kritikal kerana mereka masih berada dalam fasa pencarian identiti dan hala tuju hidup. Dalam keadaan ini, tempat kerja tidak lagi sekadar ruang mencari nafkah, tetapi juga medan pencarian makna.
Kira-kira dua pertiga pekerja muda menyatakan elemen seperti bekerja dengan organisasi yang mempunyai misi bermakna atau peluang menyumbang kepada masyarakat sangat mempengaruhi pilihan kerjaya mereka. Mereka tidak lagi hanya bertanya tentang gaji, tetapi juga tentang nilai dan tujuan kerja.
Ini adalah isyarat jelas kepada majikan moden. Menawarkan gaji semata-mata tidak lagi mencukupi untuk mengekalkan bakat muda. Tempat kerja perlu menjadi ruang yang lebih manusiawi, yang menghargai kesejahteraan emosi, hubungan sosial dan rasa makna dalam pekerjaan.
Kesihatan rohasi bukan sesuatu yang statik
Kesihatan rohani bukan sesuatu yang statik. Ia boleh dibina dan dilatih. Para penyelidik mengibaratkannya sebagai “otot” yang boleh diperkukuhkan dari semasa ke semasa.
Membina otot rohani boleh bermula dengan langkah kecil iaitu mengurangkan tekanan media sosial, mendekatkan diri dengan alam, melibatkan diri dalam komuniti, memperbanyak refleksi diri dan belajar melepaskan emosi toksik seperti ego, iri hati dan budaya membandingkan diri.
Akhirnya, kesihatan yang sebenar bukan sekadar tubuh yang cergas atau minda yang produktif. Kesihatan sejati lahir apabila jasad, akal dan jiwa bergerak dalam keseimbangan.
Dalam dunia yang semakin bising, mungkin perkara yang paling diperlukan Gen Z hari ini bukan motivasi untuk bergerak lebih laju, tetapi keberanian untuk berhenti sejenak dan mendengar suara hati sendiri.
Kerana manusia tidak runtuh hanya akibat beban kerja yang berat, tetapi juga apabila jiwa terlalu lama dibiarkan kosong.
Dan barangkali, penyelamat sebenar generasi ini bukan teknologi yang semakin canggih, tetapi jiwa yang kembali mengenal makna, tujuan dan Tuhan.
