Oleh Ahmad Faizzudin Farris
KUALA LUMPUR, 17 Julai 2026 – Bagi memantapkan lagi peranan penyelidikan dalam menangani penyakit berjangkit global, seramai 13 peserta daripada Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai Kursus Pendek Immunology of Tuberculosis di Fakulti Perubatan, Universitas Indonesia (UI), baru-baru ini.
Kursus itu diadakan bagi memberi fokus kepada pemahaman mendalam terhadap imunologi tuberkulosis (TB), termasuk aspek patogenesis Mycobacterium tuberculosis, imunologi hos, rintangan ubat serta inovasi dalam pembangunan vaksin dan penemuan ubat baharu. Pendedahan ini penting memandangkan TB kekal sebagai antara penyakit berjangkit utama di peringkat global.
Menurut salah seorang peserta Sarjana Sains Kesihatan (Sains Bioperubatan) UKM, Nurul Izzaty Mohd Aziznudin, kursus itu bukan sahaja membuka perspektif baharu dalam memahami mekanisme imunologi TB, malah memberi pendedahan kepada teknologi diagnostik dan penyelidikan terkini, seperti in silico, yang sangat relevan dengan keperluan semasa.
“Selain kuliah pakar antarabangsa, kami (peserta) turut menjalani latihan amali di Fakulti Perubatan UI, Jakarta, termasuk teknik diagnostik seperti pewarnaan Acid-Fast Bacilli (AFB) dan penggunaan sistem GeneXpert MTB/RIF.
“Pengalaman hands-on ini membolehkan kami memahami aplikasi sebenar dalam pengesanan pantas dan pengurusan penyakit TB,” katanya.
Dalam kursus jangka pendek itu, peserta turut diberi peluang eksklusif mengadakan lawatan industri ke PT Esora Medika dan PT Etana Biotechnologies Indonesia.
Lawatan tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada peserta untuk memahami secara langsung proses pembangunan produk diagnostik in vitro serta inovasi terkini dalam pengurusan penyakit berjangkit, malah menjadi platform penting dalam membina jaringan profesional antara akademia dan industri.
Pendedahan ini secara tidak langsung meningkatkan kesiapsiagaan peserta dalam menghadapi keperluan kerjaya serta memperkukuh kebolehpasaran graduan dalam bidang sains bioperubatan.
Penyertaan UKM dalam program itu dapat memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa bersama Universitas Indonesia, sekali gus menyokong agenda pengantarabangsaan universiti.
Inisiatif itu juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) dan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dalam usaha meningkatkan keupayaan penyelidikan dan inovasi dalam bidang kesihatan.
Program ini diharap dapat menjadi platform berterusan dalam melahirkan penyelidik berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada usaha global membendung penularan tuberkulosis.


