IPT Main Peranan Penting dalam Memacu Pembangunan Negara

Oleh Siti Aisyah Mohd Wahama dan Asmahanim Amir
Foto Shahril Dzulkiflee

KUALA LUMPUR, 17 Julai 2026 – Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memainkan peranan yang penting dalam memacu pembangunan negara, kata Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub.

Beliau berkata universiti bukan sekadar pusat pembelajaran, tetapi juga tempat lahirnya inovasi, penemuan dan transformasi masyarakat.

“Hala tuju pendidikan kejuruteraan adalah selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, yang bertujuan melahirkan graduan yang seimbang dari segi kemahiran dan nilai kemanusiaan.

“Untuk menjayakan matlamat ini (RPTM), pihak kementerian menyeru sektor korporat untuk turut serta memberi sokongan penuh.

“Industri mesti dilibatkan bermula dari reka bentuk kurikulum, bukan hanya selepas tamat pengajian,” tegas Prof. Dr. Zainal Amin Ayub.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di The EASEC-19 Gala Dinner of The 19th East Asia-Pacific Conference On Structural Engineering And Construction (EASEC-19), di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa kerjasama antara universiti dan industri amat penting dalam memastikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program kejuruteraan kekal relevan dengan keperluan pasaran.

“Melalui perancangan silibus secara bersama dan perkongsian fasiliti makmal, pihak universiti dan industri dapat bergerak seiring menghadapi perkembangan teknologi AI, transformasi digital serta teknologi hijau.

“Hasilnya, universiti dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja mudah mendapatkan pekerjaan, malah merancakkan lagi perkongsian kepakaran teknologi,” katanya.

Tambah beliau, persidangan EASEC-19 bukan sekadar menjadi sebuah platform pertukaran idea, malah juga menjadi medan untuk menangani krisis global seperti perubahan iklim dan isu perbandaran.

“EASEC adalah platform terbaik untuk memperkukuh kerjasama dunia. Dengan menggabungkan kepakaran, kajian dan kemudahan bersama pihak industri, pakar kita tidak hanya sekadar berjumpa, tetapi mampu mencipta penyelesaian kejuruteraan berimpak tinggi pada peringkat global,” ujarnya.

Melalui persidangan ini, beliau juga menyeru para penyelidik muda dan pelajar pascasiswazah agar merebut peluang membina jaringan antarabangsa serta menghasilkan penyelidikan yang mampu memberi impak positif berpanjangan kepada masyarakat.

Leave a Reply