Daun Kaduk Bantu Kawal Tekanan Darah Tinggi

Oleh Prof Madya Dr. Azizah Ugusman, Pensyarah dan pakar fisiologi kardiovaskular, Fakukti Perubatan, UKM

Daun kaduk atau nama saintifiknya Piper sarmentosum Roxb. bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Selain dijadikan ulam, tumbuhan ini sering digunakan dalam pelbagai masakan tradisional seperti kerabu dan gulai lemak. Dalam perubatan tradisional pula, kaduk digunakan bagi membantu melegakan masalah sendi, pernafasan dan pencernaan.

Namun, siapa sangka tumbuhan yang mudah ditemui di halaman rumah ini sebenarnya mempunyai khasiat yang berpotensi memberi manfaat kepada kesihatan jantung dan salur darah.

Potensi tersebut ditemui menerusi siri penyelidikan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak lebih sedekad lalu.

Ketua penyelidik dan pakar fisiologi kardiovaskular, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Azizah Ugusman berkata, minat untuk mengkaji daun kaduk bermula apabila tumbuhan itu didapati mengandungi pelbagai sebatian bioaktif yang mempunyai sifat antioksidan dan anti-radang.

“Tekanan oksidatif dan keradangan merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan hipertensi serta kerosakan salur darah.

“Oleh itu, kami ingin mengetahui sama ada daun kaduk mampu memberikan kesan perlindungan terhadap sistem kardiovaskular,” katanya.

Beliau berkata, hipertensi merupakan antara masalah kesihatan yang paling membimbangkan di Malaysia.

“Menurut data terkini, hampir satu daripada tiga orang dewasa di negara ini menghidap hipertensi.

“Lebih membimbangkan, ramai tidak menyedari mereka menghidap penyakit tersebut kerana hipertensi lazimnya tidak menunjukkan gejala yang jelas. Atas sebab itu, hipertensi sering digelar sebagai pembunuh senyap,” katanya.

Tambah beliau, jika tidak dikawal dengan baik, hipertensi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan kematian pramatang.

“Oleh itu, usaha mencari pendekatan baharu untuk membantu pencegahan dan pengurusan hipertensi sentiasa menjadi fokus penyelidikan di seluruh dunia,” katanya.

Menurut beliau, kajian yang dijalankan mendapati ekstrak daun kaduk berupaya memperbaiki fungsi salur darah melalui peningkatan penghasilan nitrik oksida, iaitu molekul penting yang membantu salur darah mengembang dan mengekalkan aliran darah yang lancar.

“Selain itu, ekstrak daun kaduk juga didapati mempunyai aktiviti antioksidan yang dapat mengurangkan tekanan oksidatif yang sering dikaitkan dengan hipertensi dan penyakit kardiovaskular.

“Lebih menarik, kajian turut menunjukkan bahawa daun kaduk berpotensi mempengaruhi sistem renin-angiotensin, iaitu sistem utama yang terlibat dalam pengawalan tekanan darah manusia.

“Apabila sistem renin-angiotensin ini terlalu aktif, tekanan darah boleh meningkat dan seterusnya meningkatkan risiko hipertensi.

“Hasil kajian kami menunjukkan bahawa daun kaduk berpotensi mengawal tekanan darah melalui kesannya terhadap sistem tersebut,” jelasnya.

Dr. Azizah berkata hasil penyelidikan tersebut telah membawa kepada penghasilan paten berkaitan penggunaan daun kaduk dalam pengurusan hipertensi, sekaligus membuktikan bahawa tumbuhan tempatan berpotensi diterjemahkan kepada inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Walaupun dapatan yang diperoleh amat menggalakkan, beliau menegaskan bahawa kajian yang dijalankan setakat ini masih berada pada peringkat praklinikal.

“Sehubungan itu, lebih banyak kajian termasuk kajian klinikal dalam kalangan manusia perlu dilakukan sebelum daun kaduk boleh dibangunkan sebagai produk kesihatan untuk membantu pengurusan hipertensi,” ujarnya.

Menurut Dr. Azizah, Malaysia mempunyai kekayaan biodiversiti yang amat bernilai dan masih banyak tumbuhan tempatan yang belum diterokai sepenuhnya.

“Kadangkala tumbuhan yang kita anggap biasa dan hanya dijadikan ulam sebenarnya menyimpan nilai saintifik yang sangat besar.

“Melalui penyelidikan yang sistematik, khazanah alam semula jadi negara bukan sahaja dapat memperkayakan ilmu pengetahuan, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan produk kesihatan tempatan pada masa hadapan,” katanya.

Leave a Reply