Oleh Dr Afifah Mohamed dan Sufi Aiman Sabrina Rosmen
KUALA LUMPUR, 21 Julai 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Kesihatan (FSK) menerima kunjungan rasmi dari Fakulti Kesihatan Masyarakat, Universitas Sriwijaya (UNSRI), Indonesia sempena International Academic Mobility Programme, baru-baru ini, bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang mobiliti akademik, penyelidikan dan inovasi antara kedua-dua institusi.
Timbalan Dekan Siswazah, Prof. Madya Dr. Mohd. ‘Izzuddin Hairol berkata lawatan itu merupakan kunjungan rasmi kali keempat UNSRI ke FSK sejak kerjasama strategik kedua-dua institusi bermula pada tahun 2023.
Beliau berkata kerjasama tersebut membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua institusi untuk memperkukuh mobiliti akademik, penyelidikan dan perkongsian kepakaran.
“Program seperti ini menjadi platform penting dalam membina jaringan penyelidikan antarabangsa yang mampan.
“Melalui pertukaran ilmu dan pengalaman, kedua-dua institusi dapat menghasilkan impak yang lebih besar kepada pembangunan pendidikan tinggi dan penyelidikan,” katanya.
Sepanjang program, kedua-dua institusi mengadakan perbincangan mengenai peluasan peluang mobiliti pelajar dan pensyarah, selain berkongsi kepakaran melalui siri syarahan akademik yang menyentuh pelbagai isu kesihatan awam seperti pendidikan kesihatan, kesihatan ibu dan anak, intervensi pemakanan komuniti serta kesihatan persekitaran.
Penyelidik muda daripada kedua-dua universiti turut berkongsi pengalaman penyelidikan dan pembangunan kerjaya akademik.
Dalam siri lawatan itu, FSK turut menganjurkan Research Development Workshop yang memfokuskan kepada penyediaan geran penyelidikan berdaya saing, strategi penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi serta penerokaan peluang geran bersama antara UKM dan UNSRI.
Delegasi dari UNSRI turut dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (TABTAR) bagi memberi peluang kepada mereka mengikuti sesi perkongsian ilmu serta meninjau beberapa fasiliti klinikal bagi meningkatkan pemahaman terhadap amalan klinikal, pendidikan dan penyelidikan di hospital pengajar UKM.
Program ini mencerminkan komitmen UKM dalam memperkukuh jaringan antarabangsa melalui kerjasama strategik bersama institusi pendidikan tinggi serantau, sekali gus menyokong pembangunan penyelidikan, mobiliti akademik dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya dalam bidang kesihatan, pendidikan berkualiti dan perkongsian global.

