UKM Terajui UMAP Board Meeting 2026, Perkasa Agenda Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Asia Pasifik

TAIPEI, TAIWAN, 30 Julai 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global) menjadi pemacu utama dalam Mesyuarat Lembaga University Mobility in Asia and the Pacific (UMAP Board Meeting) 2026 bagi memperkasakan mobiliti akademik serta kerjasama penyelidikan di rantau Asia dan Pasifik.

Mesyuarat tersebut menghimpunkan wakil Sekretariat Negara ahli UMAP yang merupakan sebuah konsortium pendidikan tinggi yang menghimpunkan lebih 400 universiti, institusi dan organisasi pendidikan tinggi dari 19 negara.

Mesyuarat Lembaga itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UKM, Profesor Dato’ Dr. Fariza Md Sham FASc, selaku Ketua Setiausaha Sekretariat Antarabangsa UMAP bagi penggal 2026–2030, bersama Pengerusi UMAP merangkap Pengerusi Foundation for International Cooperation in Higher Education of Taiwan (FICHET), Dr. Tsai-Yen Li.

Mengulas mengenai kepentingan mesyuarat tersebut, Prof. Dato’ Dr. Fariza Md Sham berkata UKM akan terus komited menguatkan kerjasama antarabangsa yang mampu memberi impak bermakna dan berkekalan kepada pembangunan pendidikan tinggi serantau.

“Pendidikan tinggi pada hari ini dibina atas semangat kolaborasi untuk meningkatkan kualiti dan capaian pendidikan tinggi antarabangsa.

“Melalui UMAP, kita akan terus memperkukuh rangkaian yang diyakini bagi membolehkan universiti berkongsi ilmu, melahirkan bakat yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan serta menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat bukan sahaja kepada ahlinyai, malah kepada komuniti Asia Pasifik secara keseluruhannya.

“UKM berbangga dapat menyumbang kepada misi bersama ini sebagai hos Sekretariat Antarabangsa UMAP,” katanya.

Dalam perjumpaan tersebut, Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa UKM merangkap Timbalan Ketua Setiausaha Sekretariat Antarabangsa UMAP, Prof. Madya Dr. Akmal Sabarudin bersama Ketua Pentadbiran UKM Global selaku Pengarah Sekretariat Antarabangsa UMAP, En. Nur Haiqal Rawlins Una Abdullah yang turut bertindak sebagai pelapor utama Malaysia.

Mereka membentangkan pelbagai cadangan dan inisiatif strategik yang merangkumi pengukuhan tadbir urus, program mobiliti, penyelidikan serta pembangunan UMAP untuk pertimbangan dan persetujuan Lembaga UMAP seterusnya mencapai persetujuan terhadap beberapa agenda strategik bagi memperkukuh ekosistem UMAP pada masa hadapan.

Leave a Reply