Fakulti Pengajian Sains Citra UKM Jadi Perintis Pengajian Rentas Bidang

BANGI, 8 Ogos 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi perintis pengajian rentas bidang apabila mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjenamakan semula Pusat Pengajian Sains Citra sebagai Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC).

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata FPSC menawarkan program sarjana muda yang memberi lebih fleksibiliti kepada pelajar, termasuk model pengajian dua tahun di universiti dan dua tahun di industri (2u2i).

“Pendekatan ini menggabungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman sebenar di tempat kerja.

“Pelajar bukan sahaja belajar di dalam kelas, tetapi turut berpeluang merasai sendiri suasana kerja di industri yang relevan dengan bidang pengajian mereka.

“Melalui cara ini, pelajar dapat meningkatkan pembelajaran berasaskan pengalaman kerja sebenar (experiential learning) yang disediakan oleh pihak industri,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu selaras dengan perkembangan pendidikan tinggi global yang menekankan integrasi ilmu, pemikiran kritis serta pembentukan sahsiah holistik.

Beliau berkata dengan penamaan semula ini, fakulti akan terus memainkan peranan penting sebagai teras pembinaan kompetensi generik pelajar universiti, termasuk kemahiran komunikasi, pemikiran analitis, literasi digital, penghayatan nilai dan peradaban.

“Pihak universiti yakin bahawa penamaan ini akan meningkatkan lagi visibiliti akademik, reputasi institusi serta jaringan kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa khususnya dalam bidang sains liberal,” katanya.

Sementara itu, Dekan FPSC, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh memaklumkan bahawa fakulti dalam proses mewujudkan Program Sarjana Muda Seni Warisan.

“Selain itu, fakulti juga turut menawarkan program pascasiswazah di peringkat sarjana iaitu Sarjana Sains Citra dan doktor falsafah,” jelasnya.

Menurutnya, fakulti juga akan mengorak langkah dengan mencadangkan penubuhan Majlis Dekan Sains Liberal di bawah KPT dan Standard Program Sains Liberal melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Leave a Reply