Dadah Sintetik Jejas Kesuburan Lelaki

Oleh Prof. Madya Dr Siti Fatimah Ibrahim
Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan UKM

Semakin ramai remaja lelaki terdedah kepada dadah sintetik atau bahan psikoaktif baharu (NPS) yang sering dipromosikan sebagai sebahagian daripada gaya hidup moden.

Apa yang membimbangkan, kesan penggunaan bahan ini bukan sekadar ketagihan atau gangguan mental. Ia berpotensi merosakkan sistem pembiakan lelaki dan menjejaskan keupayaan mereka untuk menjadi bapa pada masa hadapan.

Ancaman ini perlu diberi perhatian ketika Malaysia sedang menuju ke arah status negara menua menjelang 2030.

KESAN TERHADAP KESUBURAN LELAKI

Kebanyakan masyarakat mengetahui bahawa dadah sintetik boleh merosakkan fungsi otak yang menyebabkan ketagihan dan mengganggu kesihatan mental yang serius. Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa bahan ini juga boleh mengganggu sistem kawalan hormon yang mengawal proses pembiakan lelaki.

Bayangkan tubuh seorang lelaki sebagai sebuah syarikat besar. Otak bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang mengeluarkan arahan, manakala testis pula berfungsi sebagai kilang yang menghasilkan sperma.

Dalam keadaan normal, otak menghantar isyarat hormon secara berterusan bagi memastikan kilang tersebut beroperasi dengan baik dan menghasilkan sperma yang sihat.

Hasil kajian makmal menunjukkan bahawa dadah sintetik boleh mengganggu sistem komunikasi ini. Ia seolah-olah bertindak seperti penggodam yang memutuskan rangkaian komunikasi antara ibu pejabat dan kilang.

Walaupun secara luaran, seseorang itu masih kelihatan sihat, aktif dan cergas, arahan penting daripada otak tidak lagi sampai kepada organ pembiakan.

Gangguan sistem komunikasi tersebut menyebabkan penghasilan hormon testosteron tidak normal mengakibatkan kualiti sperma merosot. Lebih membimbangkan, proses ini boleh berlaku secara senyap tanpa sebarang gejala yang jelas.

Kesan ini biasanya tidak disedari ketika usia muda kerana mereka belum memikirkan soal perkahwinan atau zuriat. Namun, kesannya hanya muncul sepuluh atau lima belas tahun kemudian apabila mereka mula merancang untuk membina keluarga.

Bagi meningkatkan peluang kehamilan, mereka mungkin terpaksa mendapatkan rawatan kesuburan berbantu seperti persenyawaan in-vitro (IVF).

Malangnya, rawatan ini bukanlah murah dan terjamin berjaya. Gabungan tekanan emosi, dan beban kewangan boleh memberi kesan besar kepada kesejahteraan sesebuah keluarga. Apa yang bermula sebagai keseronokan sementara pada usia remaja akhirnya meninggalkan kesan yang berpanjangan sepanjang hayat.

ANCAMAN JANGKA PANJANG KEPADA NEGARA

Kesan isu ini tidak terhenti pada individu atau keluarga semata-mata. Apabila dilihat dalam skala yang lebih besar, implikasinya boleh mencetuskan cabaran demografi yang serius. Sekiranya semakin ramai lelaki muda mengalami gangguan kesuburan, kadar kelahiran negara berpotensi menurun dengan lebih cepat. Malaysia akan berdepan dengan kekurangan tenaga kerja muda yang ketara.

Usaha pemulihan ketagihan sememangnya penting dan perlu diperkukuhkan. Ramai individu berjaya dibantu untuk meninggalkan ketagihan dan membina semula kehidupan mereka. Namun, kesan yang berlaku pada sistem pembiakan tidak mudah untuk dipulihkan sepenuhnya.

Justeru, perbincangan mengenai lambakan dadah sintetik baharu perlu melangkaui isu jenayah dan moral semata-mata. Ia perlu dilihat sebagai ancaman terhadap kesihatan pembiakan generasi muda dan masa depan negara.

Sudah tiba masanya ibu bapa, pendidik, pengamal kesihatan, agensi penguat kuasa dan pembuat dasar berganding bahu meningkatkan kesedaran mengenai risiko ini. Pencegahan yang berkesan mesti bermula lebih awal, sebelum kesannya menjejaskan generasi yang mewarisi masa depan negara.

Leave a Reply