Oleh Asmahanim Amir
Foto KOMUNIKASI UKM
BANGI, 11 Ogos 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya menganjurkan Konsert Diraja UKM 2026 di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Sufian Jusoh berkata dana yang diperoleh daripada jualan tiket akan dimanfaatkan bagi memastikan kelestarian dalam pelaksanaan aktiviti akademik, penyelidikan dan pembangunan di UKM, sekali gus memperkasakan peranan universiti dalam pembangunan modal insan.
“Acara berprestij ini julung kalinya diadakan di luar kampus UKM, dengan tujuan mengangkat martabat muzik orkestra ke peringkat nasional. Ia menggabungkan kepakaran pemuzik profesional, artis tersohor tanah air serta bakat-bakat besar dalam kalangan pelajar universiti.
“Itu antara objektif kita, tetapi objektif lebih luas untuk pastikan selepas ini kerjasama di antara UKM dan DFP berjalan lancar kerana kita rasakan kita berjaya melalui konsert malam ini untuk meningkatkan kualiti seni persembahan di UKM, membolehkan pelajar membuat persembahan di dewan bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata pihaknya telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan mengadakan kerjasama di antara UKM dan juga beberapa universiti awam lain bersama DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).
“Antara kerjasama yang kita laksanakan termasuk latihan industri untuk pelajar-pelajar daripada universiti awam, khususnya UKM belajar bukan sahaja dari segi seni persembahan, tetapi juga berkenaan dengan reka bentuk, sistem, AI dalam muzik dan berkenaan dengan seni bina,” katanya.
Konsert yang menampilkan artis popular tanah air iaitu Dayang Nurfaizah, Datuk Zainal Abidin dan Nadeera Zaini ini turut menonjolkan bakat seni pelajar UKM seperti Rifdy Khairy Kipli, Adam Harith Adam, Nur Fatin Alyana dan Ana Batrisha menerusi segmen Nusantara.
Persembahan eksklusif ini dikendalikan oleh Maestro jemputan terkenal, Dato’ (Dr) Johari Salleh.
Bertemakan Simfoni Diraja: Legasi Irama Sepajang Zaman, konsert ini juga menampilkan pelbagai segmen menarik seperti Segmen Legenda Dunia yang menampilkan lagu-lagu kumpulan The Beatles, serta Segmen Legenda Malaysia yang mengangkat karya ikonik Tan Sri P. Ramlee.
Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir selaku Tuanku Canselor UKM, bersama Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke konserti ini.
Konsert Diraja UKM 2026 ini memberi impak besar dalam mengukuhkan imej UKM sebagai institusi yang komited menyokong kecemerlangan insaniah dan kreativiti warga universiti menerusi persembahan bertaraf dunia.

