Oleh Prof. Madya Dr. Mazlina Mohd. Said
Gambar UKM CESMED
BANGI, 12 Ogos 2026 –Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED) telah menganjurkan DeepTech@UKM: UKM Techspire Accelerator Programme iaitu program flagship Hub Teknovasi UKM-MTDC yang dilaksanakan menggunakan dana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dengan kerjasama strategik Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).
Program intensif selama empat bulan, bermula dari 1 April hingga 31 Julai 2026, menghimpunkan 50 pelajar daripada 13 kumpulan multidisiplin yang dibimbing secara sistematik melalui pembangunan idea, pengesahan pasaran, pembangunan prototaip serta penyediaan model perniagaan sebelum membentangkan hasil inovasi mereka kepada panel penilai yang terdiri daripada wakil industri dan akademia.
Pengarah UKM-CESMED, Prof. Madya Dr. Muhamad Azry Khoir dalam ucapannya menegaskan bahawa pembangunan inovasi tidak seharusnya berakhir di peringkat prototaip semata-mata.
“Produk teknologi pelajar yang berpotensi akan terus dibimbing secara strategik oleh UKM-CESMED untuk mendapatkan geran pengesahan pasaran dan pengkomersialan daripada agensi seperti MRANTI dan MTDC,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen UKM dalam memperkukuh ekosistem inovasi dan keusahawanan teknologi melalui laluan Lab-to-Market, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran hasil penyelidikan universiti.
Pada Demo Day tersebut, kumpulan AceTerus daripada Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) muncul sebagai Johan Keseluruhan, manakala projek Palatan Basah BioAktif daripada Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dinobatkan sebagai Naib Johan, diikuti AxonCraft daripada FTSM di tempat Ketiga.
Turut diumumkan ialah penerima Anugerah Khas, iaitu projek SmartLeaf IoT (Reruai Terbaik), Smart Shield Cover (Pengurusan Projek Terbaik) dan pelajar tahun dua Fakulti Sains Teknologi (FST) saudara Lui U (Cool Core Panel) sebagai Pembentangan Terbaik.
Program DeepTech@UKM menjadi platform penting dalam mengenal pasti dan membangunkan bakat teknousahawan muda yang berpotensi menghasilkan penyelesaian berasaskan teknologi mendalam (deep technology).
Prof. Madya Dr. Muhamad Azry berkata melalui bimbingan mentor industri, pembangunan model perniagaan serta pendedahan kepada ekosistem pengkomersialan, peserta bukan sahaja membangunkan inovasi yang berdaya maju, malah dipersiapkan untuk membawa teknologi mereka ke peringkat pasaran.
Penganjuran DeepTech@UKM 2026 membuktikan komitmen UKM dalam memperkukuh budaya inovasi dan keusahawanan berasaskan teknologi, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menjadi pencipta teknologi, pencipta pekerjaan dan pemacu ekonomi berasaskan inovasi.
Program ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai teknousahawan berdaya saing yang mampu menghasilkan teknologi berimpak tinggi demi manfaat industri, masyarakat dan pembangunan negara.


