Jerebu Boleh Jejaskan Kualiti Sperma Lelaki

Oleh Dr Faizul Jaafar, Pensyarah Kanan Biokimia dan Penyelidik Biokimia Penuaan Otak dan Reproduktif, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jerebu kembali melanda Malaysia, fenomena yang telah menjadi isu tahunan yang melanda antara bulan Julai hingga Oktober.

Masalah ini berpunca daripada pembakaran terbuka tempatan dan asap rentas sempadan dari Sumatera dan Kalimantan. Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan lebih 1,200 titik panas telah dikesan di rantau selatan ASEAN menjelang penghujung Ogos.

Namun, jerebu bukan sekadar menyebabkan batuk, sesak nafas atau mata pedih. Pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar juga boleh menjejaskan kualiti sperma dan kesuburan lelaki.

Kajian terkini mendapati pendedahan tinggi kepada pencemaran udara luar dikaitkan dengan penurunan isipadu air mani, kepekatan sperma, motiliti jumlah dan progresif, serta kadar morfologi normal sperma.

Lelaki yang terdedah kepada pencemaran tinggi  menyebabkan peningkatan indeks pemecahan DNA sperma (DFI) yang merupakan penanda kerosakan genetik sperma. Peningkatan ini boleh menjejaskan kesuburan dan proses kehamilan.

Para penyelidik mengaitkan kesan ini dengan tekanan oksidatif yang dicetuskan oleh bahan pencemar dalam jerebu, terutamanya zarah halus PM2.5, ozon dan nitrogen dioksida.

Bahan pencemar ini dipercayai merosakkan DNA sperma di samping mengganggu proses penghasilan sperma (spermatogenesis) di dalam testis.

Proses pembentukan sperma mengambil masa lebih 70 hari, bermakna pendedahan berpanjangan sepanjang musim jerebu berpotensi memberi kesan kumulatif.

Hal ini penting bagi konteks Malaysia yang berdepan episod jerebu berulang setiap musim Mosun Barat Daya.

Golongan yang bekerja dalam industri gig seperti pemandu motosikal Grab dan Food Panda berkemungkinan berisiko lebih tinggi, memandangkan mereka terdedah kepada udara tercemar dalam tempoh panjang saban hari.

Walaupun kajian khusus terhadap golongan ini masih diperlukan, pendedahan berterusan sebegini secara saintifik dijangka meningkatkan risiko penurunan kualiti sperma.

Kajian terbaharu oleh Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati lebih 30 peratus lelaki muda kini mempunyai kualiti air mani yang rendah.

Ramai antara mereka kelihatan sihat dan cergas dari luar tanpa sebarang gejala dan berkemungkinan mandul tanpa disedari.

Oleh itu, orang ramai disarankan menyemak bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di laman apims.doe.gov.my, mengurangkan aktiviti di luar rumah ketika jerebu teruk, dan memakai pelitup muka N95 apabila perlu.

Langkah pencegahan ini wajar diberi perhatian kerana kualiti sperma bukan sekadar penanda kesuburan, malah dilihat sebagai cerminan kesihatan lelaki secara menyeluruh.

Penyelidik di UKM yang terdiri daripada pelajar perubatan dan pakar kesihatan lelaki komited membantu lelaki Malaysia memahami kepentingan kesihatan reproduktif mereka. Lelaki yang berminat untuk mengetahui status kesihatan mereka boleh mendaftar melalui pautan berikut : sites.google.com/view/sqresearch/bahasa-melayu

Leave a Reply