KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2026 – Kerajaan mengalu-alukan usaha penggubalan Akta Psikologi (Psychology Act) bagi mengawal selia profesion psikologi di negara ini, selain membanteras tindakan pihak tidak bertauliah yang sewenang-wenangnya memberi nasihat berkaitan kesihatan mental kepada masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata penggubalan akta tersebut merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan memerlukan perbincangan lanjut bersama kementerian-kementerian berkaitan serta pemegang taruh di peringkat kerajaan.
“Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik dan kita mengalu-alukan perbincangan serta brainstorming dengan kementerian-kementerian lain dan stakeholders kerana perkara ini memerlukan penglibatan di peringkat kerajaan,” katanya ketika menghadiri program International Psychology Conference (IPC) 2026 di Help University, baru-baru ini.
IPC 2026 anjuran Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Health University itu menghimpunkan para pakar dan pengamal psikologi dari seluruh negara bagi mengemukakan pelbagai isu berbangkit.
Mengulas mengenai ketiadaan undang-undang khusus ketika ini, beliau menjelaskan bahawa ruang yang terlalu terbuka membolehkan sesiapa pun mengaku sebagai pakar, termasuk pempengaruh (influencer) dan orang awam yang sewenang-wenangnya memberi nasihat psikologi tanpa kelayakan sah.
“Sekarang ini tidak ada akta yang mengawal selia pakar psikologi. Sesiapa sahaja boleh mengaku sebagai psikologis dan terlalu banyak ruang terbuka untuk masyarakat, influencer serta orang awam memberikan nasihat tentang psikologi.
“Kita mengalu-alukan keprihatinan mereka, tetapi tidak boleh menafikan bahayanya di situ kerana isu psikologi ini berkaitan mental, dan kekuatan mental masyarakat sekarang sangat rapuh,” katanya.
Tambah beliau, penguatkuasaan dan limitasi perundangan amat penting agar isu-isu berkaitan psikologi tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan persidangan berkenaan sebagai platform untuk memberi pendedahan kepada golongan muda serta menyatukan para pengamal psikologi agar tidak lagi bekerja secara bersendirian (silo).
“Usaha hari ini memberikan pendedahan kepada anak-anak muda dan menunjukkan bahawa para psikologis ini serius untuk membantu masyarakat.
“Penting untuk mereka bekerjasama agar bantuan psikologi ini tertumpu. Kerajaan Madani akan memberikan kerjasama bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan mental masyarakat sentiasa terjaga melalui inisiatif yang sedang diusahakan ini,” jelas beliau.

